Saya ditanya oleh seorang sahabat dari Jengka, Pahang berkenaan air kencing bayi lelaki yang hanya meminum susu tepung, adakah dikira najis ringan atau pertengahan. Saya tidak mampu menjawabnya kerana sepanjang kefahaman saya mengenai permasalahan ini, air kencing bayi lelaki yang berusia kurang daripada dua tahun dan tidak makan atau minum apa-apa selain susu adalah najis ringan.
Saya tidak tahu apakah susu yang dimaksudkan itu. Adakah susu tersebut adalah susu ibu kandung, wanita, manusia, atau semua jenis susu termasuklah susu binatang? Adakah juga susu tersebut adalah susu cair yang diminum atau semua bentuk susu termasuklah susu tepung yang dimakan? Sekiranya yang dimaksudkan hanyalah susu ibu kandung, ertinya bayi yang minum susu wanita lain, air kencingnya dikira najis pertengahan. Begitulah selanjutnya.
Setelah membuka beberapa kitab fikah mazhab al-Syafi'i, jawapan tidak diketemui. Para pengarang tidak menyentuh perkara ini. Mereka hanya menyebut 'susu' tanpa menjelaskan susu siapa dan bentuk susu tersebut. Akhirnya, setelah membelek kitab al-Iqna' oleh al-Khathib al-Syirbini bersama hasyiyah oleh para ulama, tahulah bahawa semua jenis susu termasuk dalam takrifan susu dalam masalah tersesebut.
Nasnya berbunyi:
... بأن اقتصر على أكل اللبن بسائر أنواعه ومنه الجبن الخالي عن الأنفحة والقشطة والزبد على المعتمد في ذلك أكان لبن أمه أم غيرها ولو من مغلظ
Terjemahan: ... iaitu dengan hanya makan susu daripada semua jenisnya. Antaranya, keju tanpa rennet, krim, mentega mengikut pendapat muktamad dalam perkara tersebut tidak kira sama ada diperbuat daripada susu ibunya atau orang lain walaupun daripada haiwan yang najis berat. [Hal. 90]
Walau bagaimanapun, ini adalah pendapat mazhab. Saya belum mampu memberikan pendapat sendiri kerana belum melakukan kajian dalil dan tarjih. Wallahua'lam.