Talkin (تلقين) dalam Kamus Dewan didefinisikan sebagai: 1. petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan; 2. bimbingan mengucapkan kalimah syahadah yg dibisikkan pd telinga seseorang mukmin yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut; air ~ air yg disiram ke atas kubur (orang yg baru sahaja dikebumikan) sebaik sahaja talkin selesai dibacakan; bertalkin membaca talkin: biar dia sendiri mendengar orang ~ hingga tamat; mentalkinkan membaca talkin kpd jenazah yg baru sahaja dikebumikan, atau kpd seseorang yg sedang menghadapi saat kematian atau dlm keadaan sakaratul maut.
Pengertian yang diberikan tidak berbeza dengan apa yang difahami oleh alim-ulama tentang pengertian talkin. Namun begitu, talkin yang ingin dibincangkan dalam artikel ini adalah talkin dengan definisi pertama iaitu: petunjuk atau peringatan tentang soal jawab dlm kubur yg dibacakan kpd jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan.
Blog Tahu, Faham, Amal selaku blog yang taasub kepada mazhab Asya'irah dan Syafi'iyyah sebagaimana diakui pihak blog sendiri dalam kenyataannya yang berbunyi: kepada para sahabat dan ilmuwan agama yang pakar dalam aqidah, usuluddin, al Quran, hadith, usul feqh, feqh dan disiplin ilmu yang lain (mengikut Mazhab Syafie aliran Asya'iroh/al Maturidiyyah) diharap dapat berkunjung ke laman-laman web di bawah untuk memberikan kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam di Malaysia. Sekian petikan.
Jelas, blog tersebut bukanlah blog yang ingin memberi pencerahan kepada umat Islam tentang Islam dan khilafiyyah yang sebenar tetapi satu pembelaan dan sokongan kepada mazhab sendiri tanpa mengira kesahihan hujah dan dalil. Perkara ini dapat dilihat dalam kebanyakan - atau kesemua - artikel-artikelnya.
Dalam masalah talkin, pihak blog telah menerbitkan artikel bertajuk Kedudukan Hadits Talqin Setelah Dikubur yang bersumberkan blog http://almanar.wordpress.com. Dalam artikel tersebut, pihak blog seperti kelazimannya mempertahankan pegangan umum masyarakat Melayu iaitu sunat membaca talkin kepada mayat setelah ditanam.
Penulis artikel bersetuju bahawa hadis yang menjadi dalil utama kebolehan talkin adalah dha'if setelah mengemukakan kata-kata Imam Ibn al-Shalah, al-Nawawi, dan Ibn al-Qayyim. Sebenarnya, jika diikutkan penilaian para ulama hadis, hadis ini antara hasan, dha'if, dan dha'if jiddan. Akan tetapi, penulis artikel memilih pendapat pertengahan tanpa melihatkan kepada dalil ketiga-tiga pihak. Ini bererti penulis artikel bertaklid kepada sebahagian ulama dengan taklid buta.
Katanya: walhasil, hadits ini sejatinya dhaif, tapi terangkat derajatnya dengan dijadikannya sebagai pijakan ahlul ilmi dan umat sebagai rujukan. Ini tidak bertentangan dengan kaidah yang ditetapkan ulama. Sekian petikan.
Kemudian, penulis blog cuba meyakinkan para pembaca bahawa hadis tersebut meskipun dha'if boleh diamalkan kerana diamalkan oleh umat Islam umumnya. Beliau membawakan kata-kata Imam al-Sakhawi, Ibn al-Humam, al-Sayuthi, dan al-Tirmidzi.
Maka, saya berasa terpanggil untuk membincangkan sekali gus mengkritik artikel tersebut secara ilmiah. Saya tahu dan faham bahawa terdapat ulama yang membolehkan amalan talkin tetapi percubaan untuk menyembunyikan pandangan lain bukanlah amalan ahli ilmu.
Imam Ibnu Taimiyyah sendiri telah menyebutkan kesemua pendapat ahli ilmu dalam masalah ini iaitu: sunat, harus, dan haram; walaupun beliau sendiri memilih pendapat pertengahan iaitu harus dalam Majmu' al-Fatawa. Berbeza dengan metodologi blog ini yang kelihatan berusaha menyembunyikan pendapat-pendapat ulama lain yang dilihat menyokong pandangan lawan mereka iaitu Salafiyyah, Kaum Muda, dan sebagainya.
Namun, sebagaimana penulis artikel bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang ditaklidnya, saya sepatutnya lebih-lebih lagi bersungguh-sungguh membuktikan kebenaran pendapat yang saya pegang berdasarkan kajian dan pemerhatian; bukan taklid buta.
Saya berpegang bahawa talkin adalah bid'ah. Jika bid'ah dibahagikan kepada dua: hasanah, sayyi'ah maka saya mengatakan: talkin adalah bid'ah sayyi'ah. Saya menyelisihi pendapat Imam Ibnu Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim yang memilih keharusan talkin.
Untuk membuktikan kebenaran pegangan saya, saya harus menolak setiap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh penulis artikel.
Pertama, hadis tersebut bukan dha'if tetapi dha'if jiddan. Hadis dha'if jiddan hukumnya hampir sama dengan hadis maudhu' kerana masing-masing tidak boleh digunakan sama sekali walaupun dalam fadha'il al-a'mal.
Penjelasannya seperti berikut:
Hadis talkin diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Anas bin Salm, daripada Muhammad bin Ibrahim bin al-'Ala', daripada Isma'il bin 'Ayyasy, daripada 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi, daripada Yahya bin Abi Katsir, daripada Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi, daripada Abu Umamah RA.
Kecacatan sanad seperti berikut:
Satu, guru al-Thabarani, Anas bin Salm majhul al-hal.
Dua, Muhammad bin Ibrahim didha'ifkan oleh Ibnu 'Adi dan kata Muhammad bin 'Auf al-Himshi: mencuri hadis. Sekian. Tidak diketahui ada ulama yang menta'dilnya.
Tiga, Isma'il bin 'Ayyasy. Kata Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam al-Taqrib: shaduq dalam riwayatnya daripada ahli negerinya dan celaru dalam riwayatnya daripada selainnya. Sekian. Isma'il bin 'Ayyasy dalam riwayat ini tidak dipastikan sama ada beliau mengambilnya daripada ahli negerinya atau tidak kerana gurunya, 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurasyi majhul. Sekiranya beliau adalah seorang penduduk Hijaz berdasarkan dalalah nisbahnya kepada Quraisy, bererti beliau seorang yang dha'if dalam riwayat ini.
Empat, Yahya bin Abi Katsir mudallis dan beliau meriwayatkan hadis ini secara 'an'anah.
Lima, Sa'id bin 'Abd Allah al-Audi majhul al-hal.
Dengan terdapatnya lima 'illah ini, hadis ini dihukum sebagai dha'if jiddan terutamanya dengan kewujudkan Muhammad bin Ibrahim yang dituduh mencuri hadis.
Benar, hadis ini diriwayatakan dengan sanad lain oleh al-Khila'i iaitu daripada Isma'il bin Raja' bin Sa'id, daripada Muhamma bin Ahmad al-Junduri, daripada Muhammad bin Ibban bin Syaddad, daripada Hasyim bin Muhammad al-Anshari, daripada 'Utbah bin al-Sakan, daripada Yahya bin Ziyyad, daripada Jabir, daripada Sa'id al-Audi, daripada Abu Umamah RA. Tetapi, masalahnya, sanad ini lebih dha'if daripada sanad tadi kerana terdapat seorang rawi yang dihukum sebagai muttaham bi al-wadh'i, iaitu 'Utbah bin al-Sakan.
Kesimpulannya, hadis ini dha'if jiddan dan tidak dapat dikuatkan atau disokong dengan hadis lain kerana tidak ada hadis yang menyokong maudhi' al-syahid dalam masalah ini. Yang ada hanyalah berupa hadis anjuran mendoakan si mati dan sebagainya sementara talkin bukanlah satu doa tetapi ucapan yang diajarkan supaya diajuk oleh pendengar. Itulah pengertian sebenar talqin.
Menurut ushul al-hadits yang diterima oleh jumhur ulama-ulama Syafi'iyyah, hadis dha'if boleh digunakan dalam fadha'il al-a'mal dengan syarat antaranya hadis tersebut tidak dha'if jiddan.
Dengan kaedah ini, ternyatalah bahawa pandangan ulama yang melarangnya adalah lebih rajih.
Kedua, apa yang didakwa bahawa hadis ini diamalkan oleh umum umat Islam adalah tidak benar kerana amalan tersebut hanya diriwayatkan diamalkan di Syam, Madinah, Cordova. Ini belum menepati syarat yang ditetapkan oleh para ulama -sebagaimana yang dinukilkan oleh penulis artikel - bahawa hadis dha'if boleh diamalkan apabila diterima umum. Jika dikatakan umum yang dimaksudkan adalah perbuatan setempat, maka jawabnya, yang lebih umum adalah tidak mengamalkannya.
Kata Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam dalam Fatawanya: tidak sahih sesuatupun dalam bab talkin dan ia adalah bid'ah. [Hal. 96]