Gambaran kehidupan manusia pada hari ini dalam fikiran bangsa Islam-Melayu moden: seorang bayi dilahirkan lalu apabila usianya mencecah tujuh tahun, dihantar ke sekolah rendah. Selepas tamat darjah enam, disekolahkan pula di sekolah menengah. Sekiranya mempunyai rekod pelajaran yang baik atau berkemampuan untuk menyambung pelajaran, kehidupannya diteruskan pula di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT). Jika sebaliknya, bermakna individu terbabit perlu segera bekerja untuk menyara diri dan keluarga.
Umur perkahwinan bagi mereka mestilah sekitar 25, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat; sama ada masih belajar atau tidak. Bagi yang masih belajar, mereka dihalang oleh masa. Dalam pemikiran masyarakat, belajar dan perkahwinan mustahil untuk digandingkan bersama. Bagi yang tidak berjaya meneruskan pelajaran pula, hambatan utama adalah wang. Meskipun begitu, dalam kedua-dua keadaan, wang masih menjadi faktor penting yang berfungsi melambatkan proses perkahwinan.
Setelah menjalani zaman peralihan remaja-dewasa itu, seseorang itu dianggap sudah berhak untuk membina dan menguruskan keluarga sendiri. Jika sebelumnya masih bertatih-tatih dengan bantuan keluarga, kali ini perlu berdikari. Dengan kerjaya dan pasangan, individu itu merangka dan melangkah melalui pengalaman membina rumah tangga yang lengkap dengan sebuah rumah dan kereta, anak-anak, dan sebagainya. Anak-anak dibesarkan sama seperti ia dibesarkan sehinggalah hari tua muncul, menanti ajal datang. Begitulah kehidupan dalam gambaran masyarakat Melayu-Islam.
Jelasnya, kehidupan sebegini begitu kolot walaupun nampak seolah-olah bersifat moden dan terkini. Manusia menjadi hamba kepada sistem. Bermula dengan sistem pendidikan yang mengambil masa sekurang-kurang 11 tahun yang tidak berjaya mencapai falsafah pendidikan yang dicanangkan, sehinggalah sistem perburuhan yang tidak berkesudahan sehingga hari pencen, manusia didera secara fizikal dan mental. Benar, mereka tersenyum apabila berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan berasa gah ketika menelusur jalan raya dengan kereta import yang mewah tetapi itu tidak kekal lama. Dalam banyak ketika lebih-lebih lagi ketika berseorangan, batinnya mengadu kesakitan.
Kebanyakan mereka menjadikan hiburan sebagai ubat bagi merawati kesakitan yang dialami. Oleh sebab itulah, televisyen-televisyen dan radio dipenuhi dengan lagu-lagu yang kononnya menghiburkan jiwa. Program-program televisyen dan lagu-lagu dalam radio sengaja dicipta dan direka dengan begitu teliti dengan diselitkan berbagai-bagai ramuan seperti aksi, komedi, seram, dan cinta semata-mata untuk mengisi kekosongan yang dihadapi jiwa manusia. Dari situlah muncul Akademi Fantasia, Raja Lawak, Malaysian Idol, dan seumpamanya. Kewujudannya tidak lebih sebagai hiburan. Tapi, sebenarnya, adakah semua itu benar-benar hiburan yang mampu membuat manusia terhibur?
Jawapannya ya, tetapi tidak lama. Hiburan-hiburan seperti itu tidak lebih daripada ubat pelali atau penahan sakit. Penyakit masih ada dan tidak hilang. Ertinya, penderitaan batin masih sebati dalam diri dan tidak pernah keluar. Senyuman dan ketawa hanya sebagai tidak balas sementara. Apabila senyuman dan ketawa hilang, kemuraman dan tangisan akan menggantikan tempatnya.
Hiburan seperti ini mengambil bahagian yang amat banyak daripada kehidupan manusia. Sebagai contoh, jika seseorang menonton televisyen selama dua jam sehari, ertinya satu perdua belas hayatnya dihabiskan dengan hiburan dalam bentuk menonton televisyen. Ini tidak ditambah dengan aktiviti mendengar radio, bermain permainan komputer, dan sebagainya. Pendek kata, sebahagian besar waktu dalam hidup manusia pada hari ini hanya dihabiskan dengan: rehat, kerja, dan hiburan. Hanya sedikit masa diperuntukkan untuk menguruskan diri dan keluarga.
Tidak hairanlah jika di sesetengah tempat di Malaysia, masa lebih banyak dihabiskan di luar rumah berbanding di rumah. Dari seawal enam setengah pagi sehinggalah mendekati maghrib atau melewatinya, masa dihabiskan di pejabat dan jalan raya. Berbaki lagi kurang daripada 12 jam untuk lebih enam jam untuk tidur, satu jam untuk makan, setengah jam untuk mandi, dan aktiviti-aktiviti lain termasuk menunaikan kewajipan agama bagi yang masih ‘beragama’.
Sudah menjadi mentaliti umum, kehidupan mesti begini. Sekolah berganti universiti, universiti berganti pejabat, pejabat berganti rumah, rumah berganti kubur. Sungguh, drama-drama yang senantiasa diulang tayang. Di mana-mana. Bila-bila masa.
Pada hemat saya, panorama ini perlu diubah dan digubah. Diubah menjadi lebih baik, digubah menjadi lebih cantik. Hidup ini satu pengabdian. Anak-anak tidak perlu dibesarkan semata-mata untuk menjadi ‘robot’ yang bekerja untuk dunia yang diisi dengan bateri hiburan. Anak-anak perlu dididik sebagai hamba. Bukan hamba dunia tetapi hamba kepada tuan. Tuannya adalah Tuhan. Diasuh dan dididik agar terasuh dan terdidik. Bukan disumbat dengan ilmu dan diajar dengan fakta sampai otak tersumbat dan perangai kurang ajar.
Remaja perlu dibentuk agar bisa menjadi pendekar bukan sekadar pakar. Memang pakar boleh mencipta roket terbang ke bulan, tetapi pakar tidak mempunyai jiwa. Jiwa hanya dimiliki oleh pendekar. Meski kurang keilmuan dan kepakaran tetapi pendekar adalah manusia sejati sedang pakar boleh disogok dengan harta benda dunia. Pendekar sanggup bergadai nyawa demi agama, sedang pakar sanggup menggadaikan agama demi dunia.
Remaja perlu diberi bekal dan bekal mestilah tebal, harus kebal. Antaranya, isteri bagi lelaki dan suami bagi perempuan selepas jiwa diisi dengan al-Quran dan kitab-kitab agama. Itulah sekebal-kebal bekalan dalam ekspedisi merentasi dunia hari ini. Tanpanya, jiwa akan menjadi lesu. Tidak mampu mendepani cabaran zaman. Mudah tersembam apabila anak-anak ayam menonggek di depan mata. Ramai yang tidak menyedari hakikat ini. Sampai akhirnya, mereka terpaksa akur jua, anak-anak sudah pandai beranak sendiri. Ketika itu, sudah tidak ada nilai wang hantaran jutaan ringgit, pelamin di dalam Istana Negara, dan hadirin VIP sebesar Yang Di-Pertua Agong. Menyesal dengan air mata darah pun sudah tidak berguna.
Antara kekolotan dalam pemikiran Islam-Melayu juga, lelaki dan perempuan diajar ‘bersekedudukan’. Mustahil untuk diasingkan antara jantina. Televisyen dan radio mengajar, hidup mesti berpasang-pasangan. Haram atau halal, itu bukan soalnya. Yang penting, hidup mesti berdua. Benar, Islam mengajar hidup berpasang-pasangan tetapi mestilah dengan pasangan sendiri. Bukan dengan pasangan pakai buang. Lalu, banyaklah bertebaran di sana sini, pelajar-pelajar ditangkap khalwat. Bagaimana tidaknya, kampus, kelas, dan kumpulan studi disekalikan. Malu diajar supaya diam. Akhirnya, bertepuk tampar lelaki perempuan menjadi satu kelaziman.
Bukan itu sahaja, malu nyaris-nyaris maut dibelasah oleh pencinta-pencinta dunia. Perempuan seksi muncul begitu sahaja dalam televisyen, menyanyi dalam radio, menggoda dalam majalah, dan bergedik di tengah jalan. Manusia sudah lali dan benda sebegitu sudah dianggap mainan. Ops, makanan. Tidak ada siapa yang sanggup menghalang kedai-kedai makan daripada memasang layar besar paparan sinetron Indonesia, bahkan Melayu yang sudah kehabisan stok kain sehingga terpaksa berpakaian ala-ala Tarzan. Sungguh, tidak ada. Diajar ‘bersekedudukan’ patuh syarak tidak mahu, yang patuh syaitan juga dikejari.
Sungguh, Islam-Melayu masih kolot. Sekolot pemikiran British dahulu kala.
Catatan: entah apa yang dibebelkan tetapi mesejnya jelas sekali: mengutuk sekeras-keraskan kekolotan-kekolotan dalam pemikiran dunia Melayu dari segi terikatnya dengan sistem dunia semasa dan kebebalan mereka dalam menghadapi cabaran naluri seks manusia.