Sabtu, 17 November 2018

Tawar Hati

Sudah tawar rasa hati,
semekar mawar pun tiada erti.

Selasa, 9 Oktober 2018

Kepada Pencuri Hati

Pergilah ke mana-mana yang kaukehendaki, tetapi pulangkan dahulu hatiku yang telah kaucuri.

Atau ambilah hatiku dan buatlah apa yang kausukai, tetapi serahkan dahulu hatimu sebagai ganti rugi.

Isnin, 14 Ogos 2017

Tertekan

Digasak atas bawah
Dihimpit kiri kanan
Dilanyak depan belakang
Binatang apakah aku ini?

Setiap patah kezaliman
Tercatat di buku malaikat
[Biar sebesar kuman
Pasti akan terlihat]
Setibanya akhir zaman
Terburai perut penjahat.

Ahad, 26 Februari 2017

Akhir Kalam

Kauambil segala-galanya
Tinggal nyawa
Itu cuma.

Itu pun kaurampas
Tidak terlepas
Aku tewas.

Isnin, 6 Februari 2017

(Tiada Tajuk)

Tahun kelima
Penjara baharu
Pun menjadi lama.

Ahad, 30 Oktober 2016

Bukan Cerita Novel


Kisah aku takkan kaujumpa, di dalam deteran novel yang kaubaca
Sesekali engkau mungkin simpati, tapi belum cukup mengerti,
Kita masih di alam berbeza, tersisih sendiri tak mungkin kaurasa,
Apa yang luruh padamu ini, beberapa cerita yang sudah mati.

Isnin, 17 Oktober 2016

Untuk Adik

Kerana aku lebih dewasa
Lebih kenal tabiat manusia
Jujur menasihati setulus rasa
Tak kaupeduli hanya sia-sia.

Dia lelaki aku pun begitu
Aku tahu yang tidak kautahu
Daripada kerlingan sepintas lalu
Sudah kutahu dia penipu.

Berkali-kali aku menasihati
Tetapi engkau keras hati
Ternyata aku perlu mati
Dan darah menjadi bukti.

Adikku yang aku sayangi
Kini jagalah dirimu sendiri
Abang sudah berada di sini
Tidak dapat menjagamu lagi.