Rabu, 13 Julai 2011

Menjenguk Bersih 2.0

Baru sebentar tadi aku bersama dua sahabat serumah ke Bait Bukhara di pekan Mu’tah sempena menghadiri undangan makan malam. Sesampainya aku di sana, sebelum menjamah makanan berupa nasi yang disediakan, aku masuk ke dalam bilik seorang sahabat. Di sana, beliau menayangkan kepada kami sebuah video tentang perhimpunan Bersih yang diadakan pada hari Sabtu lepas. Melalui video tersebut, aku dapati satu peristiwa yang menyebabkan hati aku tersentuh.

Adegan itu bukan salah satu episod kekejaman polis terhadap peserta perhimpunan tersebut. Polis Malaysia sebagaimana yang aku saksikan dalam video tersebut sangat bengis dan jahat. Sanggup mereka memukul dan menendang rakyat-rakyat yang mahukan kedamaian untuk Malaysia. Pak-pak cik dan wanita-wanita tidak terkecuali. Tetapi, bukan itu yang membuat hatiku sebak.

Hatiku sebak apabila melihat seorang pak cik dalam keadaan nazak di sana. Sebagaimana yang aku lihat, tangannya dijerut dari belakang. Mungkin itu yang menyebabkan beliau lemas. Orang ramai yang mengerumuni beliau cuba membuka ikatan tersebut sedang polis hanya melihat sahaja. Orang ramai mencari-cari gunting atau alat-alat yang tajam tetapi tidak ada. Mereka juga bertanyakan polis kalau-kalau ada dengan mereka. Tidak ada juga. Dalam keadaan yang amat menyayat perasaan sesiapa yang mempunyai perasaan itu, ucapan syahadah ditalkinkan ke telinga beliau.

Hatiku keras. Tetapi, setelah aku mendengar anak perempuan pak cik tersebut memanggil-manggil “ayah, ayah, ayah!” hatiku yang keras itu pun menangis. Perempuan. Berpurdah. Ya Allah, aku tidak mampu melihat perempuan menangis. Lebih-lebih lagi menangis melihat apa yang menimpa ayahnya di hadapan matanya sendiri! Sebak melihatnya. Tangannya masih terjerut kemas dan dirinya masih berbaring di atas jalan raya. Menurut sumber lain, beliau tidak dapat bernafas selain kerana tangan dijerut, tulang rusuknya patah kerana dutendang oleh polis. Pada waktu itu, orang ramai masih berusaha. Tidak ada polis membantu. Hanya memerhatikan. Kemudian, berehat tidak jauh dari sana. Tidak ada bantuan kecemasan. Tidak ada ambulans. Tidak ada kenderaan yang berhenti.

Aku tidak mampu memberikan kata putus terhadap perhimpunan Bersih ini walaupun disertai dan disokong oleh ramai ulama tanah air. Bukan kerana aku tidak melihat kebaikannya, tetapi kerana baik dan buruk bagi manusia adalah berpandukan syariat. Akal boleh menilai tetapi penilaian akal terbatas dalam perkara-perkara tertentu. Seaman mana pun sesuatu perhimpunan itu tetap perlu dinilai berdasarkan nas. Seharus mana pun kedudukan sesuatu tunjuk perasaan itu di sisi perlembagaan Malaysia, sesungguhnya perlembagaan Tuhan itu aula untuk ditaati. Walau bagaimanapun, aku tidak menyatakan demonstrasi jalanan ini haram. Sebab, halal haram itu ketentuan syariat. Aku tidak akan bertaklid kepada mana-mana ulama membabi buta meskipun mereka itu seagung al-Albani, ulama yang aku cintai.

Berkenaan tunjuk perasaan, ulama-ulama Salafiyyah kebanyakannya mengharamkannya berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Sebuah buku nipis berkenaannya telah aku khatamkan. Karya Syaikh Hasan ‘Ali al-Halabi. Tetapi, syukur kepada Allah yang telah melalukan aku di atas banyak jalan termasuk jalan ‘Asya’irah, Ikhwan, dan sebagainya yang telah memberikan banyak kebaikan untuk aku membuat keputusan. Benar, wujud dalil menunjukkan demonstrasi itu haram. Tetapi, dalam sesetengah keadaan sudah tentu berbeza hukumnya. Politik di Mesir tidak sama dengan politik di Arab Saudi. Politik di Jordan tidak sama dengan politik di Malaysia. Mereka ulama-ulama Mesir, Saudi, dan Jordan tidak banyak tahu tentang suasana Malaysia. Barangkali kalau mereka tahu, mereka akan mengubah fatwa-fatwa mereka. Tegasnya, hukum perlu melihatkan kepada banyak segi dan sudut tanpa aku nafikan bahawa al-Quran dan sunnah adalah asas kepada pemilihan hukum.

Aku bercadang untuk mengkaji berkenaan dakwah, pergerakan, dan politik Islam dengan lebih terperinci. Aku tidak mahu mengikut-ngikut sahaja apa yang dilakukan oleh ulama-ulama. Tetapi ini tidaklah bererti aku berasa besar diri sudah mampu berijtihad seperti mereka semua. Tidak! Aku sebagai penuntut ilmu perlu belajar, mengaji, dan mengkaji. Dari mulut Tuan Guru Nik Abdul Hadi Awangkah atau Tuan Guru Nik Abdul Azizkah, selagi tidak berdasarkan dalil, tidak dapat aku terima. Lebih-lebih lagi, setelah aku dapati bahawa demonstrasi dan sebagainya itu berasal daripada ulama-ulama dan ustaz-ustazah yang keluar dari madrasah al-Qaradhawi dan Ikhwan yang aku dapati cacat dan tempang kerana tidak bertongkatkan al-Quran dan sunnah.

Apa-apa pun, selagi aku tidak mampu mengeluarkan kata putus, berkenaan perhimpunan Bersih, aku nasihatkan kepada penganjur supaya meneliti dan berusaha sedaya upaya untuk membersihkan Bersih daripada segala perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Dalam perkara ini aku utarakan satu persoalan, adakah perlu wanita turut serta dalam demonstrasi ini? Sudah kita dengar kata-kata Saiditina ‘A’isyah “kalaulah Nabi shallahu’alaihiwasallam masih hidup sudah tentu beliau akan menghalang wanita daripada keluar ke masjid.” Nah, ‘ke masjid’! Kalau ke pasar? Kalau ke tempat demonstrasi? Kita juga pernah mendengar bahawa Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam pernah ditanya, adakah wanita boleh berjihad dan berperang bersam a-sama lelaki? Kata baginda: sebaik-baik dan seelok-elok jihad untuk perempuan adalah haji, haji yang mabrur [Rujuk: al-Bukhari (1861)]. Jadi, tanpa aku nafikan keterlibatan para wanita bersama-sama Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dalam perang dengan tugas-tugas khusus untuk mereka, aku nasihatkan, khusus kepada wanita ummah, duduklah di rumah dengan mengasuh dan mendidik anak-anak kalian supaya apabila besar nanti mampu berjuang bermati-matian untuk Islam. Janganlah terlalu beremosi. Medan ini medan kami.

Kerana aku tidak mahu menangis sekali lagi.
Kerana aku cintakan para srikandi.
Kerana aku lelaki.

Wassalamu’alaikum.

Catatan: aku tidak dapat menonton kembali video tersebut untuk memastikan kisah ‘pak cik’ tadi sebagaimana yang diceritakan. Maaf sekiranya ada maklumat yang tidak tepat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan