Daripada Saidina ’Umar
bin al-Khaṭṭāb raḍiya Allāh
’an-hu, Rasulullah
ṣallā Allāh ’alay-hi
wa-sallama bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ
كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ
وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ
يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.
Sesungguhnya perbuatan
itu hanyalah dengan niat dan setiap insan akan mendapat (balasan) seperti yang
ia niatkan. Maka, barang siapa hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka
hijrahnya itu adalah kepada Allah dan rasul-Nya. Barang siapa hijrahnya kepada
dunia untuk dikecapi atau wanita untuk dinikmati, maka hijrahnya itu adalah
kepada seperti yang dihijrahkan.[1]
Sebagaimana yang dimaklumi, kebanyakan hadis
mempunyai banyak riwayat dan setiap riwayat berbeza matan dan sanadnya. Hadis
ini juga begitu. Hadis ini diriwayatkan oleh terlalu ramai ulama, tetapi
kesemuanya berpunca daripada riwayat Yaḥyā bin Sa’īd al-Anṣārī, daripada Muḥammad bin Ibrāhīm al-Taymī, daripada
’Alqamah bin Waqqāṣ, daripada ’Umar bin al-Khaṭṭāb raḍiya Allāh ’an-hu.
Oleh ramainya bilangan rawi yang mengambil
hadis ini daripada Yaḥyā bin Sa’īd,
hadis tersebut dianggap mutawatir yakni daripada beliau. Imam al-Harawī (481 H)
diriwayatkan mencatatnya daripada 700 orang murid Yaḥyā tetapi Ibnu Ḥajar
al-’Asqalānī menganggapnya sukar diterima. Beliau sendiri hanya menemui tidak
lebih daripada 100 buah riwayat daripada Yaḥyā.[2] Tidak mengapa, sekurang-kurangnya jelas
bahawa hadis ini diriwayatkan oleh puluhan murid Yaḥyā dan ini sudah memadai
untuk menjadi mutawatir.
Walau bagaimanapun, hadis ini sebenarnya gharib
kerana diriwayatkan oleh seorang daripada seorang - daripada Yaḥyā sehingga
’Umar. Gharib tetapi sahih sebagaimana kebanyakan hadis sahih yang lain.
Tetapi, hadis ini lebih kuat kerana kesahihannya disepakati oleh ulama.[3] Setakat ini, belum ditemui ada seorang pun
ulama yang cuba melemahkannya.
Cuma, harus diperhatikan bahawa ittifak
adalah atas kesahihan dan bukannya kemutawatiran. Hadis sahih bermaksud
berkemungkinan besar pernah diucapkan oleh Rasulullah ṣallā Allāh ’alay-hi
wa-sallama. Hadis mutawatir pula bermaksud secara pasti memang pernah
disabdakan baginda. Maka, kesepakatan ulama adalah atas kemungkinan hadis ini
pernah diucapkan oleh Rasulullah dan ini tidak mengubah keadaannya memberikan
sangkaan yang berat - sebagai hadis āḥād - kepada memberikan ilmu yang
putus - sebagai hadis mutawatir.
Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan bahawa
hadis ini gharib bermula daripada Yaḥyā adalah berdasarkan riwayat yang sahih.
Hal ini demikian kerana terdapat riwayat lain daripada Muḥammad bin Ibrāhīm
iaitu oleh Mūsā bin Muḥammad bin Ibrāhīm al-Taymī sebagaimana yang diriwayatkan oleh
al-Zubayr bin Bakkār (256 H) dalam Akhbār al-Madīnah,[4]
sebuah kitab yang hilang daripada khazanah kitab umat Islam. Tetapi, disebabkan
beliau munkar al-ḥadīth[5]
dan riwayat tersebut menjadi ḍa’īf, riwayat berkenaan dianggap
seperti tidak wujud.
Bahkan, terdapat beberapa
riwayat lain selafaz atau semakna hadis ’Umar daripada sahabat lain. Ibnu
Mandah (470 H) menghitungnya daripada 17 orang sahabat tetapi angka ini ditolak
oleh al-’Irāqī (806 H). Berdasarkan penelitiannya, mereka hanyalah Abū Sa’īd
al-Khudrī, Abū Hurayrah, Anas bin Mālik, dan ’Alī bin Abū Ṭālib raḍiya Allāh ’an-hum dan kesemua riwayat
berkenaan tidak sahih.[6]
Kenyataan ini disokong dengan apa yang didakwa oleh al-Khaṭṭābī (388 H) bahawa
beliau tidak mengetahui terdapat khilaf antara ahli hadis tentang ketidaksahihan
hadis ini daripada selain ’Umar.[7]
Ini secara tidak langsung menambahkan lagi hujah kepalsuan kitab hadis Ibāḍiyyah,
Musnad al-Rabī’ bin Ḥabīb yang meriwayatkan hadis ’Umar bukan daripada
salah satu daripada empat sahabat yang disenaraikan tadi, malah daripada Ibnu
’Abbās raḍiya Allāh ’an-humā.[8]
[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhārī (1427 H); Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī (1427 H); ’Abd al-Salām ’Allūsh (ed); Riyadh: Maktabah al-Rushd;
no. 6689 dan Muslim (1426 H); Ṣaḥīḥ Muslim (1426 H); Naẓr al-Faryābī
(ed); Riyadh: Dār Ṭaybah; no. 1907.
[2] Lihat: Ibnu Ḥajar al-’Asqalānī (1421 H); Fatḥ al-Bārī bi-Sharḥ Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī; ’Abd al-Mālik Mujāhid (ed); Riyadh: Dār al-Salām; j. 1, h. 15.
[3] Lihat: Ibnu Taymiyyah (1427 H); Majmū’ah
al-Fatāwā; Farīd ’Abd al-’Azīz al-Jundī (ed); Kaherah: Dār al-Ḥadīth; j. 9,
h. 431.
[4] Lihat: al-Sayūṭī (1419 H); Muntahā al-Āmāl
fī Sharḥ Ḥadīth Inna-ma al-A’māl; Muḥammad ’Aṭiyyah (ed); Beirut: Dār Ibnu Ḥazm;
h. 37.
[5] Lihat: Ibnu Ḥajar al-’Asqalānī (1432 H); Taqrīb
al-Tahdhīb; Sa’d bin Najdat ’Umar (ed); Beirut: Mu‘assasah al-Risālah; no.
7006.
[6] Lihat: al-’Irāqī (1405 H); al-Taqyīd
wa-al-Īḍāḥ Sharḥ Muqaddimah Ibn al-Ṣalāḥ; Rāghib al-Ṭabbākh (ed); Beirut:
Dār al-Ḥadīth;h. 85.
[7] Lihat: al-Khaṭṭābī (1409 H); A’lām al-Ḥadīth
fī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī (1409 H); Muḥammad bin Sa’d Āl Su’ūd (ed); Mekah:
Markaz Iḥyā‘ al-Turāth al-Islāmī; j. 1, h. 110.
[8] Lihat: al-Rabī’ bin Ḥabīb (1415); Musnad
al-Rabī’ bin Ḥabīb; Muḥammad Idrīs et. al. (eds); Beirut: Dār al-Ḥikmah;
versi al-Maktabah al-Shāmilah v. 3.48;
h. 23.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan