Sabtu, 28 Mei 2011

Aku Ingin Berbicara

Entah mengapa tiba-tiba sahaja artikelku ‘Pendirian Terhadap PERMATA dan PRU 2011/12’ dibaca oleh seratus orang dalam masa kurang daripada 24 jam. Sedangkan artikel-artikel aku yang lain yang ternyata lebih bermanfaat untuk semua seperti artikel tentang muzik dan gambar perempuan tidak diendahkan sebegitu rupa. Walhal, aku tidak pernah mengiklankan artikel tersebut dalam Facebook mahupun status Yahoo Messenger. Aneh sekali.

Artikel tersebut sebenarnya aku karang untuk menyatakan pendirianku terhadap persatuan zonku, PERMATA untuk dibaca oleh mereka-mereka yang ingin tahu jalan yang aku pilih. Aku tidak bermusuh dengan PERMATA tidak pula dengan pemimpin-pemimpinnya. Aku anggap PERMATA sebagai kerajaanku dan aku anggap pimpinannya sebagai pimpinan sebuah kerajaan. Aku juga ingin menegur kalau-kalau benar dakwaan bahawa PRU PERMATA dikawal oleh tangan-tangan ghaib. Aku bukanlah orang yang pertama bercakap tentang hal ini. Kalaulah tangan-tangan ghaib ini benar-benar wujud, aku nyatakan pandanganku berdasarkan ilmu yang kupelajari. Aku meminjam kata-kata ulama. Aku tidak membabi buta menyokong atau mengkritik sesuatu tanpa sandaran yang kukuh.

Kemudian, menerusi artikel itu aku menyeru PERMATA kepada al-Quran dan sunnah. Barangkali ramai yang kebingungan, adakah PERMATA tidak berpegang kepada kedua-dua sumber teragung itu? Sebagai jawapannya, aku nyatakan beberapa contoh. Aku cuba memahamkan pembaca, perbuatan kita masih belum menepati kata-kata. Kita masih belum berdiri teguh di atas jalan yang masing-masing pilih. Kita mendakwa berpegang kepada al-Quran dan sunnah dengan mazhab dan manhaj tertentu tetapi sebenarnya tidak. Kita hanya mengikut pandangan umum. Inilah persoalan yang cuba kubawa.

Aku juga mengkritik sikap berat sebelah yang diamalkan oleh PERMATA. Aku tahu, bukan PERMATA sahaja yang mengamalkan sikap ini. Aku juga tahu, ramai ahli PERMATA yang memilih jalan yang tidak aku pilih. Aku juga tahu, suaraku asing dan pasti akan tenggelam dengan suara yang ramai. Tapi, jalan yang aku pilih bukanlah jalan yang asing dalam agama malah suara kebenaran yang dibawa oleh jumhur atau keseluruhan ulama pada zaman awal. Dengan semangat memperjuangkan agama Allah, aku rela dimaki hamun oleh manusia.

Mungkin ramai antara kita yang tidak memahami mengapa caraku terlalu agresif. Seorang sahabatku mengatakan aku cepat melenting. Aku tahu. Kalau bukan kerana angin masakan pokok bergoyang. Begitu juga aku. Semenjak aku datang ke sini, sudah beberapa kali orang-orang bercakap tentangku. Kadang-kadang aku dituduh mengatakan kata-kata yang tidak pernah aku katakan. Mereka menghinaku Wahabi dan Salafi di belakangku. Di hadapanku mereka memperliku. Mereka membaca kitab-kitab untuk menyanggahku. Antara mereka adalah sahabat-sahabatku sendiri yang kononnya tersenyum menyapaku dan mengajakku makan apabila berjumpa. Pedih.

Orang-orang yang memusuhiku makin lama makin bahagia. Mereka diberi tempat yang tinggi dalam persatuan. Dakwah-dakwah mereka mula mengukuh dengan terbitan-terbitan penulisan di atas nama persatuan. Kalaulah mereka hanya mengemukakan dakwah mereka, alangkah bahagianya. Tapi, namaku, jalanku, dan ulama-ulamaku pula yang menjadi buah mulut mereka. Sahabat-sahabat yang tidak tahu apa-apa tentang khilaf sudah pandai meniru-niru kata-kata mereka. Mereka yang baru mendengar nama Salafi mula menuding jari kepadaku, inilah Salafi Mu’tah. Apakah dosaku; salahku aku memilih jalan Imam Malik, Syafi’i, dan Ahmad ini?

Aku juga didesak oleh persekitaran apabila perkara-perkara yang mungkar mula mendapat tempat dalam kalangan sahabat-sahabat yang tidak tahu apa-apa. Mereka menurut sahaja apa yang diajar oleh mereka-mereka yang memusuhiku. Yang paling aku terkejut apabila membaca sebuah qasidah yang berisikan istightsah dengan Rasulullah shallahu’alaihiwasallam. Aku takut perkara ini boleh memberi kesan kepada akidah.

Antara isi qasidah yang bertajuk ‘Allah, Allah, Agitsna Ya Rasul Allah’ tersebut ialah:

داو قلبي وامنحه سر القرب * واجل كربي وألحقني بأهل الله

Ubatilah hatiku dan kurniakan rahsia taqarrub; dan hilanglah kedukaanku serta sertakan daku bersama-sama ahli Allah.

أنت المختار بمدحك تجلى الأكدار * أجرنا من النار بجاهك يا رسول الله

Engkaulah yang terpilih, dengan memujimu hilanglah kesusahan; jauhkan kami dari neraka dengan darjatmu wahai Rasulullah.

Syaikh ‘Ali ‘Abd al-Halim Mahmud, seorang ulama Ikhwan al-Muslimin berkata dalam buku Syarah Usul 20 Imam Hasan al-Banna yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di bawah bab Amalan Terpenting yang Diharamkan Terhadap Kubur:

1. Memohon pertolongan dengan si mati -ini adalah haram- kerana memohon pertolongan tidak lain hanyalah kepada Allah subhanahuwata’ala berdasarkan sabda Rasulullah shallahu’alaihiwasallamsekiranya kamu memohon pertolongan maka pohonlah daripada Allah subhanahuwata’ala.” Tidak harus memohon dengan selain Allah subhanahuwata’ala sama ada nabi, para wali, malahan orang-orang soleh. 2. Menyeru si mati untuk istighatsah (memohon pertolongan). Demikian juga asal istighatsah hanyalah kepada Allah subhanahuwata’ala tidak kepada yang selain-Nya kerana istighatsah bermakna meminta dan memohon pertolongan. Yang maha memberi hanyalah Allah... [Dewan Pustaka Fajar, cet. kedua 2007, hal. 191]

Kalaulah mereka-mereka yang memusuhiku mempunyai rasa gerun dan takut kepada Allah taala, aku nasihatkan kepada mereka supaya tinggalkan perkara-perkara yang syubhah ini. Kalau kalian ingin teruskan istightasah kalian, teruskan tapi jangan mengajak sahabat-sahabatku yang tidak berdosa bersama-sama kalian.

Orang-orang yang memusuhiku selalu membaca-baca kitab Mafahim Yajib an Tushahhah tulisan Muhammad ‘Alawi al-Maliki yang mereka gelarkan ‘singa sunnah’. Mereka mempunyai kitab asal dalam bahasa Arab dan terjemahan dalam bahasa Melayu. Aku tidak sanggup menyebutkan isi kandungan kitab itu. Bagi mereka, itulah kitab terbaik dalam menyanggahku. Mereka sebenarnya tidak tahu bahawa kitab tersebut telah pun disanggah habis-habisan oleh Syaikh Shalih bin ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad Alu al-Syaikh dalam kitab berjudul Hadzihi Mafahimuna setebal lebih 200 halaman. Seandainya mereka mengetahui bahawa ‘Alawi tersebut telah melakukan jenayah ilmiah yang berat dalam kitab tersebut pasti mereka akan membakar kitab itu.

Cukuplah orang-orang yang berakal mendengar bahawa Syaikh Shalih Alu al-Syaikh berkata: dalam kitabnya (Mafahim) terdapat penggunaan hadis-hadis maudhu’, terlalu meragukan, munkar, batil, dha’if jiddan, dan dha’if dengan banyak sekali untuk membuktikan syubhah-syubhahnya yang karut-marut. Banyak dalil yang beliau gunakan dengan penuh memberat-beratkan diri (ta’assuf) bersama dengan sifat dalil sendiri tersebut yang meragukan dan lemah. [hal. 6]

Musuh-musuhku itu cuba menyesatkan dan mengeluarkan Salafiyyah daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Tetapi ada juga antara mereka yang berfikrah PAS dan menyanjung tinggi pemimpin-pemimpin PAS yang cuba mempertahankan Salafiyyah. Sebabnya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam bukunya Ideologi Umat Islam telah memasukkan Salafiyyah dan Wahhabiyyah ke dalam senarai pecahan Ahl al-Sunnah. Aku lihat, sahabat yang cuba membela itu telah berubah.

Ada antara sahabatku yang telah menulis dalam laman peribadinya bahawa Salafiyyah atau Wahhabiyyah tidak berasal dari mazhab Hanbali. Sebenarnya sahabatku ini tidak tahu bahawa Salafiyyah dan Wahhabiyyah itu adalah hasil dakwah Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Arab Saudi. Beliau bermazhab Hanbali. Ulama-ulama besar Salafiyyah dan Wahhabiyyah adalah Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qayyim yang bermazhab Hanbali. Dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh disebutkan bahawa Syaikh al-Islam yang dimaksudkan oleh ulama-ulama Hanbali yang datang selepas Ibnu Taimiyah dalam kitab-kitab mereka adalah Ibnu Taimiyah. Ertinya, Ibnu Taimiyah bermazhab Hanbali.

Perkara ini jelas sekali bagi orang-orang yang rajin menelaah kitab. Aku berasa sangat pening apabila melihat musuh-musuhku begitu taasub pada mazhabnya. Sesiapa yang tidak mengikut pandangan mazhabnya barangkali akan disesatkannya. Dalam masalah ibunda dan ayahanda Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam, ulama Ahli Sunnah mempunyai dua pandangan. Pertama, bahawa mereka termasuk dalam ahli neraka. Kedua, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Aku tahu, kita semua berpegang dengan pendapat kedua. Tetapi, adakah ini bermakna pendapat pertama adalah sesat? Imam Mulla ‘Ali al-Qari yang meninggal pada tahun 1014 H telah menulis kitab khusus membela pendapat ini. Tajuknya, Adillah Mu’taqad Abi Hanifah al-A’dzham fi Abaway al-Rasul ‘alaihi al-Shalah wa al-Salam. Dibawanya dalil dari al-Quran, hadis, dan ijmak. Menerusi kitab tersebut, beliau membantah Imam Sayuthi yang membela pegangan kedua yang telah menulis risalah al-Ta’dzhim wa al-Minnah fi Anna Abaway Rasul Allah shallahu’alaihiwasallam fi al-Jannah. Berkenaan pendapat Imam Sayuthi ini, Imam al-‘Adzhimabadi berkata dalam ‘Aun al-Ma’bud: dan Syaikh Jalal al-Din al-Sayuthi telah menyelisihi al-Hafidz (Imam Nawawi) dan ulama-ulama muhaqqiqin dan mengitsbatkan iman dan keselamatan daripada azab neraka kepada mereka berdua (ibu bapa Nabi shallahu’alaihiwasallam) lalu beliau menulis banyak risalah tentangnya... [Al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 12, hal. 494]

Kesimpulannya, kedua-dua pandangan ini adalah muktabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Sekiranya ada kelompok yang ingin membela mana-mana pegangan, silakan tetapi dengan manhaj ilmiah. Aku berkata begini kerana wajib bagi sesiapa yang tahu kebenaran untuk mempertahankannya. Jika kalian rasa berada di atas kebenaran, kalian perlu membela kebenaran tersebut asalkan dengan kaedah-kaedah yang dibenarkan syarak. Yang menjadi salahnya, kalian menggunakan apa jua cara dan jalan sama ada betul atau salah semata-mata menegakkan pendapat pilihan.

Inilah sebabnya mengapa aku begitu sensitif dalam masalah-masalah ini. Aku tidak mencari musuh tetapi orang-orang yang menganggapku musuh. Berat pada sangkaanku bahawa merekalah yang cuba mengapi-apikan antara aku dengan PERMATA. Merekalah yang telah menyebarkan pautan blogku kepada ahli-ahli PERMATA supaya mereka semua benci kepadaku. Padahal, aku tidak berniat untuk menimbulkan kontroversi sedemikian rupa.

Seorang sahabat yang menggelarkan dirinya Insan Faqirah telah menulis komentar terhadap artikelku. Katanya, aku tidak beradab. Gelaran ‘pak cik’ yang kuberikan kepada ustaz yang mengajar di Puskma sebagai sindiran telah dijadikan satu isu besar. Mungkin ustazah tersebut tidak tahu asal usul artikelku. Kalaulah beliau berada di tempatku, diasak dan didesak, pasti beliau sedar kata-katanya silap.

Kepada musuh-musuhku yang telah berbaik hati menjadi dalang kepada kontroversi ini, kami berharap agar kalian sudi menyebarluaskan artikelku ini supaya orang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Biarlah orang ramai tahu siapakah yang zalim dan siapakah yang dizalimi.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan