Sabtu, 28 Mei 2011

Menjelaskan Kekeliruan

“Jika golongan Salafiyyah yang mencetuskan isu khilafiyyah di Mu’tah, pasti mereka akan marah. Kata mereka, Salafiyyah memecahbelahkan umat. Wahai PERMATA, siapakah yang membenarkan buku fatwa akidah Asya’irah dan poster ulama diterbitkan dan disebarkan ke seluruh Jordan? Siapakah yang mengizinkan seorang ‘pak cik’ yang terkenal dengan aliran pondoknya mengajar di Puskma? Berlaku adillah, wahai PERMATA!”

[Dipetik dari Pendirian Terhadap PERMATA dan PRU 2011/12]

Perenggan di atas telah membawa kontroversi dalam kalangan pembaca. Disebabkannya, kami dikatakan tidak beradab kerana menggelarkan guru kepada ramai pembaca sebagai ‘pak cik’. Untuk menjawab mengapa kami menyindir beliau sebegitu rupa, bacalah artikel kami yang bertajuk ‘Aku Ingin Berbicara’.

Disebabkan perenggan ini jugalah, kami ditanya oleh beberapa orang sahabat dengan soalan yang lebih kurangnya berbunyi “anta kata PERMATA berat sebelah sebab membenarkan seorang ustaz beraliran pondok mengajar di Puskma, adakah anta telah meminta daripada PERMATA untuk turut mengajar di sana?”

Izinkan kami menjawab: tidak, memang kami tidak pernah meminta untuk mengajar di sana. Tapi... Selanjutnya, kami mempunyai dua bentuk jawapan. Pertama, dengan memahami maksud sebenar perenggan tersebut. Sebelum perenggan tersebut, kami nyatakan hasrat kami supaya PERMATA benar-benar berpegang dengan al-Quran dan sunnah dalam semua perkara serta tidak memilih-milih antara ajaran al-Quran dan sunnah untuk diamalkan. Kami kemukakan beberapa contoh dalam masalah tersebut. Kemudian, kami suarakan ketidakpuasan hati kami terhadap sikap berat sebelah PERMATA dalam perkara-perkara khilafiyyah. Selepas itu, kami sambung dengan perenggan di atas.

Maksud perenggan di atas ialah: seandainya ahli-ahli yang berpegang dengan manhaj Salafiyyah yang menimbulkan masalah khilafiyyah di Mu’tah, pasti pihak PERMATA akan membantah atas alasan menjaga perpaduan antara ahli. Tetapi, jika benar PERMATA ingin menjaga perpaduan antara ahli, mengapa buku Himpunan 50 Fatwa Ulama tentang Akidah dan poster gambar-gambar ulama diterbitkan di atas nama PERMATA dan mengapa juga ustaz tadi dibenarkan mengajar di dewan Puskma? Jadi, PERMATA sepatutnya mengambil sikap berkecuali dalam perkara ini.

Ertinya, tiga perkara tadi menjadi contoh bahawa PERMATA lebih condong kepada mazhab dan manhaj Asya’irah dan Shufiyyah dalam masalah khilafiyyah sedangkan dalam masalah hukum-hakam agama, PERMATA lebih condong kepada pendapat umum sama ada bertepatan dengan mazhab atau manhaj dakwaan atau tidak. Kesimpulannya, isu ustaz tadi hanya sebagai contoh kepada dakwaan bahawa PERMATA memihak kepada manhaj Asya’irah dan Shufiyyah dan dakwaan bahawa PERMATA tidak beriltizam dalam menjaga perpaduan dalam kalangan ahlinya. Tidak timbul di sini persoalan sama ada kami telah meminta atau tidak untuk diadakan kelas kami di Puskma.

Kedua, kami tidak menghalang pihak PERMATA daripada menerbitkan karya-karya ilmiah atau mengadakan majlis-majlis ilmu walaupun mewakili mana-mana mazhab dan manhaj yang tidak kami setujui. Kami menyokong usaha mengembangkan ilmu dalam kalangan ahli termasuklah perkara-perkara khilafiyyah asalkan dilakukan atas dasar ilmu dan ilmiah juga dengan penuh adab dan tatasusila. Inilah pendirian kami yang dinyatakan dalam teguran tertutup kami kepada PERMATA bunyinya: Permata perlu mengawal perbincangan isu-isu khilafiyyah dengan adab-adab khilaf bukannya memihak kepada mana-mana mazhab dan manhaj ataupun menghalangnya secara mutlak. Jika Permata menghalangnya secara mutlak, bererti Permata menyekat kegiatan ilmiah. Permata juga boleh dikatakan menyekat kebenaran daripada disebarkan kerana ada antara pendapat-pendapat khilafiyyah tersebut yang mungkin benar. Sekian petikan.

Yang kami tidak setujuinya jika karya dan majlis tersebut diterbitkan dan diadakan di atas nama PERMATA seolah-olah PERMATA bermanhaj Asya’irah dan Shufiyyah sedangkan PERMATA adalah sebuah persatuan zon yang bebas dan perlu memelihara keharmonian dalam kalangan ahli. Karya dan majlis tersebut perlu diterbitkan dan diadakan di atas nama individu-individu yang terlibat sementara PERMATA perlu mengumumkan dasar berkecuali dalam masalah-masalah khilafiyyah antara Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Tidak diterbitkan di atas nama PERMATA tidaklah bererti sesebuah buku itu tidak diterbitkan di bawah PERMATA sehingga lambang PERMATA tidak dapat dipamerkan pada kulit buku. Maksud kami, mazhab dan manhaj yang dikandung oleh buku tersebut tidak disandarkan kepada PERMATA tetapi disandarkan kepada pengarang. Wakil PERMATA perlu menulis di dalam ruangan kata alu-aluan bahawa PERMATA hanya menerbitkan buku tersebut di atas dasar merancakkan kegiatan ilmiah dan PERMATA tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan buku tersebut selagi tidak bercanggah dengan manhaj umum Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Dengan kaedah ini, jika karya dan majlis tersebut mendatangkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pihak yang tidak bersetuju dengan manhaj karya dan majlis tersebut, pihak tersebut tidak boleh menyalahkan PERMATA sebaliknya perlu berhubung secara langsung dengan individu-individu yang terlibat. Ketika itu, PERMATA perlu mengawal hubungan antara kedua-dua pihak supaya tidak mendatangkan perbalahan.

Apa yang kami nyatakan ini berkaitan dengan kegiatan ilmiah yang berhubung dengan isu-isu khilafiyyah. Tentang aktiviti dan program yang tidak ilmiah seperti tahlil dan sambutan Maulid al-Rasul shallahu’alaihiwasallam yang tergolong dalam perkara-perkara khilafiyyah pula, kami rasa PERMATA perlu mengambil langkah yang hampir sama. Cuma, PERMATA perlu memastikan aktiviti dan program tersebut berjalan tanpa sebarang usaha menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang tidak bersetuju dengan program tersebut. Misalnya, tidak perlu disebut dalil-dalil mengharuskan tahlil atau menjawab hujah-hujah pihak lawan dalam aktiviti dan program yang diadakan. Tidak juga dibenarkan perlian atau sindiran kepada pihak yang tidak bersetuju. Dalil dan jawapan terhadap hujah lawan boleh dibincangkan menerusi kegiatan ilmiah bukan kegiatan tak ilmiah.

Dengan penjelasan panjang lebar ini, jelaslah bahawa kami tidak menghalang ustaz tadi mengajar di dewan PERMATA malahan kami berharap usaha-usaha seperti ini diteruskan oleh ahli-ahli yang lain. Cuma, mazhab dan manhaj majlis tersebut tidak disampaikan di atas nama PERMATA tetapi di atas nama ustaz itu sendiri. Oleh itu, tidak salah PERMATA menyediakan tempat dan mengiklankan majlis tersebut. Ustaz tersebut juga dibenarkan membela mazhab dan manhaj pegangan dalam majlis itu dengan cara yang beradab.

Jika ada pihak yang ingin membangkang mazhab dan manhaj pegangan ustaz tersebut pihak tersebut perlu diberikan ruang yang sewajarnya. PERMATA dalam perkara ini hanya perlu memastikan kegiatan ilmiah seperti ini dijalankan secara harmoni dan ilmiah dalam lingkungan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Wassalam.

23 Jumada al-Akhir 1423 H bersamaan dengan 26 Mei 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan