Dr. Ved Prakash Upaddhay, seorang pengkaji Sanskrit dari Universiti India India telah mengejutkan ramai pihak dengan buku beliau bertajuk ‘Muhammad in the Hindu Scriptures’ (Muhammad dalam Kitab-kitab Suci Hindu). Dalam buku ini, beliau tampil menerangkan bahawa kedatangan Muhammad bin ‘Abd Allah shallahu’alaihiwasallam sebagai utusan terakhir manusia telah diramalkan dalam kitab-kitab suci agama Hindu. Sesuatu yang teramat menakjubkan!
Ramai orang beranggapan agama Hindu yang dianuti oleh penduduk-penduduk di Asia Tengah tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam dan Islam. Malah, agama Hindu tidak digolongkan dalam kategori agama-agama samawi oleh para ulama. Di sisi mereka, agama Hindu tidak mungkin berasal daripada agama tauhid seperti Yahudi dan Kristian. Tambahan pula, agama tersebut tidak disebut secara jelas dalam ayat-ayat al-Quran sama seperti agama Buddha. Oleh sebab itu, mereka pasti terkejut jika menemui keterangan-keterangan yang jelas mengenai Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam di dalam kedua-dua agama tersebut.
Sebelum berkenalan dengan lebih lanjut dengan buku yang diterjemahkan daripada bahasa India ke bahasa Bengali kemudian ke bahasa Inggeris tadi, elok rasanya diterangkan perbahasan mengenai istilah ‘agama-agama samawi’. Dalam kalangan ulama ada yang berpendapat istilah ‘agama-agama samawi’ tidak tepat. Alasannya, agama itu hanya satu. Para nabi dan rasul ‘alaihissalam berapa ramai pun mereka agama mereka hanya satu. Tidak ada beza antara agama Nabi Adam dengan Nabi Isa. Demikian juga samanya agama Nabi Ibrahim dengan agama Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam. Yang berbezanya adalah syariat. Maka, ‘agama-agama samawi’ perlu diganti dengan istilah ‘syariat-syariat samawi’. Demikian menurut mereka.
Bagi saya, istilah ‘agama-agama samawi’ masih tepat. Benar, agama tauhid yang diturunkan oleh Allah hanyalah satu. Tetapi, istilah ‘agama-agama samawi’ bukan merujuk kepada agama tauhid tetapi agama-agama yang berasal dari agama tauhid. Agama tauhid Islam. Agama-agama yang berasal dari agama tauhid banyak. Antara yang masyhur di sisi umat Islam agama Yahudi dan agama Kristian. Oleh sebab itulah, dipanggil ‘agama-agama samawi’ bukan ‘syariat-syariat samawi’.
Selain itu, ‘agama-agama samawi’ merujuk kepada sesuatu agama setelah bukan sebelum perubahan dan pengubahan. Sekiranya idea ini tidak diterima, para pengkaji pasti akan menemui kesukaran menamakan Yahudi dan Kristian sebagai agama kerana mereka mengkategorikan Yahudi dan Kristian ke dalam bahagian syariat-syariat samawi. Kesimpulannya, istilah ‘agama-agama samawi’ perlu dikekalkan selagi yang dimaksudkan dengan ‘agama’ selepas penyelewengan bukan sebelumnya. Agama-agama para nabi dan rasul yang tulen satu dan tidak lebih. Jika lebih, itu bukan agama tetapi syariat. Syariat setiap rasul berbeza.
Dalam prakata buku setebal 147 halaman tersebut, Dr. Upaddhay menulis:
“Kitab-kitab Veda telah meramalkan kedatangan seorang bijaksana yang akan mengenderai unta, mempunyai 12 orang isteri, dan bernama Narashangsa. Shayana menerangkan Narashangsa sebagai seseorang yang dipuji oleh manusia. Tetapi, berdasarkan analisis saya, saya nampak sukar untuk bersetuju dengan Shayana. Saya berpendapat Narashangsa merujuk kepada seseorang yang mempunyai nama ‘yang terpuji’. Perkataan ‘Muhammad’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘yang terpuji’. Lantaran itu, Narashangsa dan Muhammad seerti. Menerusi buku ini, secara jujurnya saya telah berusaha untuk menyingkap hakikat ini.”
Ya, benar sekali. Dr. Upaddhay telah menyelak helaian-helaian kitab-kitab kuno untuk membuktikan bahawa kemunculan Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam telah diberitakan dalam agama Hindu. Beliau telah mengeluarkan teks-teks kitab-kitab Veda dan Purana yang memperkenalkan peribadi Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam. Akhirnya, beliau berjaya menemukan bahawa berita gembira kedatangan Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam sebagai rasul Allah terakhir telah dijelaskan dalam kitab-kitab tersebut dengan empat cara dan gaya. Pertama, baginda dinamakan sebagai Narashangsa atau ‘Muhammad’ dalam bahasa Arab. Kedua, sebagai Antim Rishi atau nabi terakhir. Ketiga, sebagai Kalki Avatar atau nabi akhir zaman. Keempat, baginda disebut dengan nama baginda sendiri ‘Muhammad’ shallahu’alaihiwasallam.
Sukar untuk memahami keajaiban ini tanpa membaca buku Muhammad in the Hindu Scriptures. Dalam buku ini, petikan teks-teks Atharveda, Samveda, Yajurveda, Rigveda, Mahabharata, dan kitab-kitab Hindu lain menunjukkan butiran-butiran Nabi Muhammad shalahu’alaihiwasallam telah dikhabarkan secara jelas dan terperinci. Sejauh mana kejelasan dan terperincinya perihal baginda dalam kitab-kitab Hindu dapat dibayangkan apabila nama ibu dan ayah baginda, Aminah dan ‘Abd Allah turut disebut!
Selain agama Hindu, Yahudi, dan Kristian, agama Buddha juga memberitakan kedatangan Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam. Dalam kitab mereka, Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam digelar sebagai Maitreya yang bermaksud ‘rahmat’ sebagaimana kata Gautama Buddha dalam wasiatnya kepada Nanda: wahai Nanda, aku bukanlah Buddha pertama dalam dunia ini bukan juga yang terakhir. Satu masa nanti, akan muncul seorang Buddha di dunia ini yang akan mengajarkan kebenaran dan kebaikan. Akhlaknya jernih dan suci. Hatinya bersih. Dia akan menyebarkan ilmu pengetahuan dan keadilan. Dia akan menjadi pemimpin dan penunjuk jalan kepada seluruh manusia. Dia akan mengajarkan kebenaran sebagaimana yang saya ajarkan. Dia akan membuka jalan kehidupan yang murni dan pada masa yang sama, waktu pun tamat. Wahai Nanda, namanya Maitreya!
Timbul persoalan, bolehkah menganggap Hindu dan Buddha agama samawi seperti agama Yahudi dan Kristian? Jika ya, bolehkah kita menganggap tokoh-tokoh penting agama mereka sebagai nabi seperti Nabi Musa dan Nabi Isa ‘alaihimassalam bagi agama Yahudi dan Kristian?
Allah taala telah menerangkan dalam al-Quran:
وَرُسُلًا قَدْ قَصَصْنَاهُمْ عَلَيْكَ مِنْ قَبْلُ وَرُسُلًا لَمْ نَقْصُصْهُمْ عَلَيْكَ...
Mafhumnya: dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan rasul-rasul yang tidak kami ceritakan hal mereka kepadamu... [Surah al-Nisa’, ayat ke-164]
Melalui ayat ini, kita difahamkan bahawa tidak semua nabi dan rasul disebutkan nama, perihal, dan kisah-kisah mereka dalam Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam. Namun begitu, tidak bererti Islam tidak lengkap. Jika tidak lengkap, pasti ayat di atas tidak diturunkan kepada baginda. Sebenarnya, nabi dan rasul terlalu ramai dan tidak kesemuanya perlu disebut dalam al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah shallahu’alaihiwasallam. Apa yang telah termaktub dalam al-Quran dan sunnah, itulah yang lebih diutamakan bagi kita. Sesungguhnya, Allah maha bijaksana dalam setiap perancangan-Nya. Demikianlah secara ringkasnya.
Hakikatnya, para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah terbahagi kepada dua sebagaimana keterangan ayat tadi. Pertama, yang disebutkan dalam al-Quran dan sunnah. Kedua, tidak disebutkan dalam al-Quran mahupun sunnah. Umat Islam wajib beriman dengan seluruh nabi dan rasul yang disebut dalam dua sumber utama Islam tersebut sebagai membenarkan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad shallahu’alaihiwasallam sementara nabi-nabi dan rasul-rasul yang tidak dinyatakan secara langsung dalam al-Quran dan sunnah tidak wajib diimani kenabian dan kerasulan mereka. Demikian juga kesahihan Hindu dan Buddha sebagai agama samawi.
Menganggap Hindu dan Buddha sebagai agama samawi dan tokoh-tokoh utama mereka seperti Gautama Buddha sebagai nabi dan rasul hanyalah anggapan yang bersifat teori. Teori ini bergantung kepada sumber-sumber luar. Teori-teori berbeza-beza kekuatannya. Ada yang kuat dan ada yang lemah bergantung sejauh mana kekuatan hujah-hujahnya. Sekuat mana pun teori tersebut, tidak sesekali akan menjadi akidah baru dalam Islam walaupun mungkin menjadi sekukuh akidah bagi seseorang yang mempercayainya. Boleh jadi teori Hindu dan Buddha sebagai agama samawi kuat tetapi tidak sekali-kali menyamai kekuatan dakwaan kesamawian agama Yahudi dan Kristian kerana kesamawian dua agama tersebut sabit dengan nas manakala kesamawian agama Hindu dan Buddha hanya sabit dengan hasil kajian.
Umpama meyakini Big Bang, letupan besar pada awal kejadian langit dan bumi sebagai maksud ayat ke-30 dalam Surah al-Anbiya’. Sesetengah ulama percaya bahawa Big Bang merupakan proses terawal penciptaan langit dan bumi dikuatkan pula dengan keterangan ayat ke-30 tadi. Mempercayai Big Bang tidak merosakkan akidah sama sekali. Tidak sepatutnya Big Bang meskipun merupakan teori yang diperkenalkan saintis Barat pada awal kurun ke-20 disesatkan hanya kerana kedangkalan ilmu pengetahuan kita atau hanya kerana teori tersebut datang daripada orang kafir bukan Islam seperti kita. Tidak ada sebarang percanggahan antara a-Quran dan sunnah dengan akal dan ilmu pengetahuan sebagaimana yang dijelaskan oleh alim-ulama.
Sebenarnya, banyak lagi teori-teori lain yang bakal mengejutkan umat Islam. Tetapi, kejutan ini bukan menggugah keimanan malah menguatkan dan memantapkannya. Teori-teori tersebut yang mampu meranapkan persepsi sebahagian umat Islam terhadap agama mereka sendiri seolah-olah Islam bercanggah dengan penemuan-penemuan semasa. Teori-teori yang bakal menghancurleburkan usaha menusukkan jarum kekufuran ke dalam jiwa umat Muhammad. Antaranya, Alaxender The Great sebagai Dzu al-Qarnain, teori lama yang tercalar disebabkan buku Iskandar bukan Zulkarnain, Socrates sebagai Luqman al-Hakim oleh Muhammad Alaxender, dan sebagainya.
Teramat-amat benarlah firman Allah yang maha agung yang mafhumnya: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? [Surah al-Fushshilat, ayat ke-53]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan