Sabtu, 18 Ogos 2012

Catatan dari Malaysia

Syukur ke hadrat Ilahi, setelah termimpi-mimpi untuk pulang ke tanah air setelah tiga tahun merantau di bumi Syam, kaki ini menjejak juga di atas tanah tumpah air ini. Perjalanan merentas ribuan batu yang memakan masa lebih kurang 40 jam dari Mu’tah ke Amman, singgah seketika di Muscat, Oman kemudian sampai di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sebelum bertolak ke Kota Bharu. Alhamdulillah. Syukur juga kerana semua subjek yang diambil untuk semester akhir lulus dengan jayanya.

Terlalu banyak pengalaman yang ditimba ketika berada di tempat orang. Banyak ragam dan perangai manusia ditemui. Manusia-manusia yang berubah menjadi kera, monyet, dan cimpanzi tidak terkira ramainya khususnya di permukiman saya, Mu’tah. Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan bagaimana keadaan mereka. Cukuplah saya sebutkan, bagaimana peniaga buah boleh minum air di hadapan masjid pada siang Ramadan ketika orang sibuk bergegas menunaikan solat! Buah pula dijual secara haram menurut fatwa imam masjid kerana dijual berhampiran dengan masjid!!

Sedih melihat keadaan umat Islam di tanah Arab, sedih juga menatap rupa umat Islam di tanah Melayu. Orang-orang fasiq ramai. Mereka tidak kenal solat. Barang kali puasa pun tidak. Mereka gilakan hiburan. Hidup mereka hanya untuk berhibur. Kemudian, mati. Itu sahaja. Kalau tidak fasiq pun mereka jahil. Ini orang-orang yang masih solat, puasa, dan tergerak untuk ke Mekah menunaikan haji. Mereka tidak tahu hukum: halal haram, batal sah. Ustaz-ustazah pun tidak terkecuali. Merekalah tokoh-tokoh yang berjasa besar mengubah gambaran agama menjadi liberal. Tetapi mereka pandai. Mereka tak kata ‘liberal’. Mereka guna istilah ‘wasathiyyah’. Mereka lupa ‘wasathiyyah’ adik kepada ‘moderat’ jajaan Perdana Menteri kita keempat, Tun Dr. Mahathir.

Saya tidak tahu dari mana perlu saya mulakan dakwah. Hendak bercakap tentang aurat depa akan kata semua orang sudah reti. Bercakap tentang sunnah, akan dicop Wahabi. Kalau diam, syaitan bisu. Kalau bersuara, perlu ikut cita rasa masyarakat. Mazhab kita mazhab ramai-ramai. Duduk di Malaysia kita solat dua puluh. Di Jordan, solat lapan. Agama kita sudah jadi agama demokrasi. Esok-esok akan jadi agama demonstrasi. Ops!

Saya tidak mahu jadi terkenal. Kemasyhuran itu menipu daya. Berapa ramai ustaz menjadi pekak dan bisu sebaik masuk TV. Bercakap tentang fadilat itu dan kelebihan ini sedangkan kemungkaran dibiarkan melata. Entah-entah, ustaz pun sama berfikrah moden. Modenisasikan agama. Kita renovate agama biar nampak cantik. Agama yang Nabi shallallahu’alaihissalam tidak berapa sempurna indahnya gamaknya.

Tapi, kalau orang tak kenal, macam mana kita dapat menyampaikan dakwah dengan berkesan. Orang takut menerima daripada orang-orang yang mereka tidak kenal. Atau, mereka kenal tapi orang lain tak kenal. Maksudnya, selagi belum jadi figure yang digemari ramai, orang tidak akan peduli apa yang kita hendak sampaikan. Orang Arab, masa Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam mula-mula keluar, berapa orang sahaja yang beriman. Setelah pembukaan kota Mekah, barulah berbondong-bondong penduduk semenanjung tanah Arab mengakui kebenaran dakwah baginda.

Semoga Tuhan mempermudah jalan dakwah ini. Pengalaman dakwah di Mu’tah dahulu meskipun tidak mendapat tempat di hati masyarakat akan dijadikan iktibar. Mungkin dakwah memerlukan kita melihat suasana sekeliling. Tetapi semestinya tanpa mengubah prinsip tidak kira usul atau cabang. Selagi cabang itu termasuk dalam kategori prinsip.

Ya Allah, permudahkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan