Rabu, 5 Disember 2012

Mengapa Saya Mengkritik Mereka?


‎"Mengapa Ahli Sunnah dan Syi'ah asyik bergaduh je ni? Kenapa tak berbaik-baik je. Dua-dua kan Islam."

"Puak-puak sufi ni asyik serang Wahabi je. Wahabi pun sama, asyik serang pondok. Kenapa tak bersatu je. Sama-sama Ahli Sunnah."

"Asya'irah kata Salafi sesat. Salafi kata Asya'irah sesat. Padahal, kedua-duanya ikut al-Quran dan sunnah jugak. Kenapa tak bertasamuh je?"

Inilah persoalan yang menghantui pemikiran masyarakat awam. Mereka tidak dapat memahami faktor-faktor yang menyebabkan khilaf dan pertelingkahan antara aliran, mazhab, dan tokoh. Lantas, mereka cuba menyalahkan sesiapa sahaja yang terbabit. Mereka rasa, bersatu adalah jalan yang paling tepat.

Apabila para ustaz dan pendakwah saling mengecam, mengkritik, malah mungkin mengutuk antara satu sama lain, mereka tidak dapat menerimanya. Mereka anggap, semua perlu akur dan hormat dengan apa-apa pandangan yang dikeluarkan oleh mana-mana ustaz dan pendakwah sekalipun pandangan yang batil oleh ustaz yang sesat. Lantas, mereka pula yang tampil menyalahkan keadaan yang berlaku. 

Kalaulah mereka hidup dalam dunia ilmu yang tulen, mereka akan dapati hampir tidak ada seorang ulama pun yang tidak mengkritik dan dikritik. Puluhan kitab khusus untuk menyanggah seorang tokoh ditulis. Kitab-kitab rijal sarat dengan perkataan 'dia penipu', 'seorang dajjal', 'tidak berguna', 'ahli bid'ah', 'berakidah Qadariyyah', 'pengutip kayu api pada waktu malam', 'perosak agama', dan sebagainya. 

Saya rasa, tentu mereka akan pengsan setelah membaca dua puluh halaman sebuah kitab rijal!

Saya tidak mahu bercakap panjang kerana panjangnya percakapan meletihkan penutur dan pendengar. Cukuplah kiranya saya datangkan satu ucapan emas milik seorang ulama, Yahya bin Sa'id al-Qaththan, ulama besar hadis zaman salaf:

Aku bertanya kepada Sufyan al-Tsauri, Syu'bah, Malik bin Anas, dan Sufyan bin 'Uyainah tentang seseorang yang mempunyai celaan atau kelemahan, perlukah aku diam atau aku menerangkannya? 

Mereka menjawab: terangkan.

[Kitab al-'Ilal di akhir Sunan al-Tirmidzi; Maktabah al-Ma'arif, Saudi; cet. 2008 H; hal. 886]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan