Baru sekejap tadi, malam 18 Disember 2012 saya mendengar kuliah agama dalam radio Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM). Siapa penyampai tidak saya ketahui tetapi jelas melalui perkataan-perkataan yang digunakan dan isi-isi yang disampaikan, beliau seorang sufi yang agak teruk. Berselindung di sebalik slogan menghormati ulama, beliau sebenarnya cuba menyusup jarum sufi dalam jiwa khalayak pendengar.
‘Sufi’ satu istilah yang sukar dirungkaikan. Sesetengah ulama menganggap sufi semuanya tidak betul sementara sebahagian ulama membahagikan sufi kepada yang betul dan yang tidak betul. Tetapi, dalam makalah ini, ‘sufi’ adalah mengikut pengistilahan pertama. Jadi, tidak timbul kemusykilan adakah saya menyesatkan semua sufi kerana sufi makalah ini adalah merujuk kepada ‘golongan yang mengadakan kaedah falsafah yang digunakan untuk mengubahsuai nas syarak sehingga menghasilkan fahaman-fahaman baru yang bertentangan dengan usul syarak dan terpesong jauh daripada Islam’. [Mengikut takrifan khusus yang diberikan oleh Syeikh Dr. Khaldun Makki al-Hasani, seorang ulama berketurunan Nabi Muhammad SAW dalam risalah Ila Ayna Ayyuha al-Habib al-Jufri; cet. kedua 1428 H, al-Bayyinah li al-Thiba’ah wa al-Nasyr, Damsyik; hal. 22 dalam nota kaki]
Dalam kuliah tersebut, beliau menekankan peri pentingnya menjaga adab dengan para ulama, menghormati, merendahkan diri, dan menghargai mereka. Saya dapat membaca apa yang ingin disampaikan iaitu perlu beradab dan berakhlak dengan ulama-ulama yang mereka iktiraf khususnya ulama-ulama sufi. Nama Ibnu ‘Arabi yang dikafirkan dan disesatkan oleh ramai ulama Ahli Sunnah seperti al-Subki, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, dan al-‘Aini beberapa kali disebut dengan doa. Kata-katanya berupa seruan menghormati ulama dan ancaman-ancaman bagi sesiapa yang mengingkarinya dipetik. Nampak sangat, penyampai sebenarnya ingin mengkritik Kaum Muda yang pada anggapan mereka tidak beradab dengan ulama-ulama mereka secara halus tetapi tajam.
Penyampai dan orang-orang yang bersama dengannya sebenarnya pun tidak menghormati ulama bahkan turut sama bersubahat dengan golongan yang mencerca, mengutuk, malah menyesatkan para ulama Ahli Sunnah. Bukankah sudah masyhur bahawa mereka telah menyesatkan Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Imam Ibnu al-Qayyim serta Imam Ibnu ‘Abd al-Wahhab dengan melontarkan sejuta satu sumpah seranah dan fitnah kepada mereka? Sudah lupakah umat Islam dengan buku Zaini Dahlan, mufti Mekah, al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah yang dimuatkan dengan pendustaan terhadap dakwah tauhid yang diiringi pula oleh Yusuf al-Nabhani dan Zahid al-Kautsari yang bermulut lancang seolah-olah tidak kenal dosa pahala? Baru-baru ini sahaja dikejutkan dengan buku terbitan Hijjaz Record yang menyerang Ibnu Taimiyah, Ibnu ‘Abd al-Wahhab, al-Albani, dan puluhan tokoh ulama lain. Saya tidak pernah mendengar ada antara mereka yang tampil membela. Kalaupun ada sudah lama dicop sebagai Wahhabi!
Inilah yang mereka inginkan sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan