Syeikh Dr. Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ adalah antara ulama yang pada mulanya
terpengaruh dengan dakwah Salafiyyah dan pernah mengikuti kuliah yang
disampaikan oleh Syeikh al-Albānī sebagaimana yang diakui oleh beliau sendiri
sebelum menganut faham sufi dan terjebak secara kronik dengan manhaj hadis
mereka. Sebagai sufi yang prolifik, beliau banyak menghasilkan karya-karya kontroversi
untuk menghujah ulama-ulama Salafī.
Kitab beliau paling berpengaruh dalam bab
ini al-Ta’rīf bi-Awhām Man Qassama al-Sunan ilā Ṣaḥīḥ wa-Ḍa’īf setebal
enam jilid. Kitab ini banyak kedapatan dan khabarnya disukai
oleh pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang menganut aliran Sufi. Mungkin
mereka tidak tahu bahawa kritikan-kritikan Mamdūḥ telah dijawab oleh pengikut-pengikut al-Albānī dengan hujah-hujah
yang lebih kemas. Antaranya, Syeikh ’Amr ’Abd al-Mun’im dari Mesir dengan kitab
nipis berjudul al-Difā’ al-Sunnī ’an al-Albānī wa-al-Jawāb ’an Shubah Ṣāḥib
al-Ta’rīf. Selain itu, Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh juga campur tangan dengan
kitab Ṭalī’ah Fiqh al-Isnād wa-Kashf Ḥaqīqah al-Mu’tariḍ ’alā al-A‘immah al-Nuqqād
tetapi sekadar jawapan ringkas dalam 100 halaman. Syeikh ’Abd Allāh bin ’Ubūd Bāḥumrān
dari Yaman pula mengarang Ta’rīf Ulī al-Nuhā wa-al-Aḥlām bi-Mā fī Ta’rīf Maḥmūd
Sa’īd Mamdūḥ min al-Akhṭā‘ wa-al-Awhām setebal hampir 800 halaman untuk
menangkis kekeliruan yang ditimbulkan Mamdūḥ. Syeikh ’Abd al-Fattāḥ Maḥmūd Surūr pula mengemukakan jawapan menerusi kitab Iḥkām al-Ḥadīd ’alā Maḥmūd Sa’īd bi-Kashf Tajannī-hi ’alā al-Imām al-Albānī wa-al-Radd ’alā Kitābi-hi al-Ta’rīf bi-Awhām Man Qassama al-Sunan ilā Ṣaḥīḥ wa-Ḍa’īf dengan lebih kurang 550 muka surat.
Selain itu, beliau juga menulis kitab Raf’ al-Manārah bi-Takhrīj Aḥādīth
al-Tawassul wa-al-Ziyārah untuk menyabitkan kesunnahan tawassul dan ziarah
makam Rasulullah SAW sekaligus menolak pandangan al-Albānī yang menyalahinya.
Tetapi agak malang, kitab beliau tidaklah terlalu kuat untuk melakukan penghujahan.
Walaupun kitabnya agak besar termuat dalam 400 halaman, Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh
dengan mudah mengemukakan jawapan dengan kitab Ṭalī’ah Ṣiyānah al-Ḥadīth
wa-Ahli-hi min Ta’addī Maḥmūd Sa’īd wa-Jahli-hi dalam 170 halaman. Begitu
juga dengan Syeikh ’Amr ’Abd al-Mun’im dengan kitab Hadm al-Manārah li-Man Ṣaḥḥaḥa
Aḥādīth al-Tawassul wa-al-Ziyārah yang sarat dikandung 380 muka surat.
Syeikh Sayyid bin Muḥammad al-Minyāwī dari Mesir juga ada melakukan tentangan
tetapi dengan tiga kitab kecil berasingan. Pertama, Madārij al-Sālikīn fī Taḥqīq
Ḥādīth As‘alu-ka bi-Ḥaqq al-Sā‘ilīn. Kedua, Fatḥ al-’Alī al-Qadīr fī Taḥqīq
Tawassul al-Ḍarīr. Ketiga, Tuḥfah al-Abrār fī Taḥqīq Athar Mālik al-Dār.
Kesemua kitab ini digabungkan di bawah satu judul, al-Tankīl li-Mā fī Raf’
Manārah Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ min al-Abāṭīl.
Buku setebal 90 halaman oleh Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ yang bertajuk Wuṣūl
al-Tihānī fī Ithbāt Sunniyyah al-Subḥah wa-al-Radd ’alā al-Albānī pula
dijawab oleh murid besar al-Albānī di Jordan, Syeikh ’Alī al-Ḥalabī dengan
judul Aḥkām al-Mabānī fī Naqḍ Wuṣūl al-Tihānī setebal lebih 100 muka
surat. Sementara itu, kitab Tanbīh al-Muslim ilā Ta’addī al-Albānī ’alā Ṣaḥīḥ
Muslim beliau balas dengan Kashf al-Mu’lim bi-Abāṭil Kitāb Tanbīh
al-Muslim setebal 310 halaman diikuti pula kitab Rad’ al-Jānī al-Muta’addī
’alā al-Albānī setebal 460 halaman oleh Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh. Sehingga kini tidak didapati ada jawapan daripada Mamdūḥ mahupun penyokong terhadap jawapan-jawapan balas ini.
Namun begitu, pelajar-pelajar Melayu nampaknya tidak tahu atau buat-buat
tidak tahu tentang kewujudan jawapan-jawapan balas ini. Mereka mudah sahaja
menerima kritikan orang terhadap al-Albānī sambil mengelak membaca jawapan bagi
pihak al-Albānī oleh pendukung-pendukung aliran beliau. Akhirnya, mereka
menjadikan buku yang telah dibuang orang sebagai hujah malah tersenyum bangga
dengannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan