Khamis, 24 Oktober 2013

Allah Tidak Bertempat



Syeikh 'Ali Jum'ah, bekas Mufti Mesir dalam kitabnya al-Mutashaddidun menuduh golongan Salafi menyabitkan tempat kepada Allah taala. Sebenarnya, tuduhan ini adalah ulang suara tuduhan musuh-musuh Hanabilah terdahulu. Mereka melakukan ilzam ke atas Hanabilah dengan berkata: sekiranya kamu mengatakan Allah di atas langit atau di atas arasy, bermakna kamu mengatakan Allah bertempat.

Persoalan Allah bertempat atau tidak ini persoalan lama dan sudah lapuk. Akan tetapi, ramai yang tidak memahaminya. Mereka mendakwa ithbat sifat 'uluww membawa kepada ithbat tempat kepada Allah. Akhirnya, kerana makhluk bertempat dan menyabitkan tempat kepada Allah bermakna menyamakan Allah dengan makhluk, mereka menuduh Salafi sebagai mushabbihah dan mujassimah.

Hakikatnya, golongan Salafi hanya mengatakan Allah taala maha tinggi di atas langit atau di atas arasy tanpa menyabitkan tempat kepada-Nya. Mengimani bahawa Allah maha tinggi tidak bermakna meyakini Allah berada pada satu-satu tempat. Allah tidak sama dengan makhluk. Jadi, tidak patut dilakukan qiyas antara Allah dengan makhluk dengan mengatakan, kalau tinggi di atas sekian-sekian, pasti berada pada satu tempat. Lebih-lebih lagi, sedia dimaklumi bahawa arasy adalah atap makhluk. Tiada makhluk di atas arasy. Tempat makhluk. Allah berada di atas arasy. Jadi, Allah tidak berada di dalam makhluk. Walhasil, Allah tidak bertempat.

Catatan: gambar menunjukkan tulisan pihak penyelia laman sesawang al-Durar al-Saniyyah yang menafikan bahawa Salafi mengatakan Allah bertempat. Tulisan penuh boleh didapati melalui pautan http://dorar.net/article/882

Tahnik

Amalan memasukkan makanan yang sudah dikunyah dengan mengguna jari ke dalam mulut bayi dinamakan tahnik atau taḥnīk mengikut sebutan asal. Disebut juga ‘belah mulut’. Makanan yang dimaksudkan adalah kurma atau gantinya berupa makanan-makanan yang manis. Hukumnya adalah sunat dan al-Nawawī mengatakan pendapat yang disepakati ulama. Tahnik ini utamanya dilakukan oleh orang yang soleh untuk diambil berkat daripadanya. Al-Nawawī juga menggalakkan bacaan doa untuk bayi semasa bertahnik.

Asas amalan ini adalah perbuatan Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama sendiri. Baginda melakukan tahnik kepada ’Abd Allāh bin Abū Ṭalḥah, Ibrāhīm bin Abū Mūsā, dan ’Abd Allāh bin al-Zubayr  seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Muslim menggunakan tamar. Daripada tamar ini, timbulnya qiyās dengan makanan-makanan yang manis. Mereka semua dibawakan kepada baginda dan inilah yang menjadi asas pemilihan orang yang afdal untuk mentahnik. Perbuatan Rasulullah mendoakan bayi ketika mentahniknya pula menjadi sandaran menyunatkan bacaan doa semasa melakukannya.

Tidak ada penentuan waktu tertentu untuk tahnik. Tetapi, berdasarkan hadis-hadis berkaitan, para sahabat membawa anak-anak untuk ditahnik oleh baginda pada awal kelahiran. Inilah yang terbaik.

Sebenarnya, terdapat keraguan untuk menerima dakwaan sunatnya amalan ini kepada selain Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama kerana beberapa sebab. Pertama, al-Nawawī mutasāhil dalam menukilkan ijmak. Kedua, tidak diriwayatkan mana-mana sahabat mahupun tabiin melakukannya. Ini seolah-olah mereka memahami amalan ini sebagai khusus untuk baginda. Ketiga, zahir para sahabat memilih baginda untuk mentahnik anak-anak mereka adalah dengan tujuan tabarruk dengan air liur baginda sementara air liur baginda tidak mungkin disamakan dengan air liur orang lain.

Lantaran itulah, Syeikh Muḥammad ’Alī Farkūs dan Syeikh Sa’d al-Shatharī menolak menyunatkan amalan ini kepada selain daripada baginda. Pandangan ini lebih tepat. Jika ingin diamalkan juga, tidak perlu memilih orang-orang tertentu untuk mentahnik dengan iktikad kemuliaan dan keberkatan tubuhnya. Ini untuk mengelakkan ghuluww dan ta’aṣṣub. Malah, amalan ini boleh sahaja dilakukan oleh orang tuanya sendiri. Ini adalah pendapat Syeikh ’Abd al-Muḥsin al-’Abbād. Syeikh Ibnu Bāz juga berpandangan begitu. Katanya: kalau dibuka pintu tahnik (dengan ulama), pasti orang ramai akan berlebih-lebihan padanya.Jika dikatakan, para sahabat tidak melakukannya sendiri sebaliknya memintanya daripada Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama, dijawab: apabila baginda wafat, adakah mereka meminta orang lain melakukannya? Malah, mereka sendiri tidak diketahui meneruskannya atau tidak. 

Khamis, 26 September 2013

Kritikan-kritikan Sa’īd Mamdūḥ kepada al-Albānī dan Jawapan-jawapan Ulama Terhadapnya



Syeikh Dr. Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ adalah antara ulama yang pada mulanya terpengaruh dengan dakwah Salafiyyah dan pernah mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Syeikh al-Albānī sebagaimana yang diakui oleh beliau sendiri sebelum menganut faham sufi dan terjebak secara kronik dengan manhaj hadis mereka. Sebagai sufi yang prolifik, beliau banyak menghasilkan karya-karya kontroversi untuk menghujah ulama-ulama Salafī. 

Kitab beliau paling berpengaruh dalam bab ini al-Ta’rīf bi-Awhām Man Qassama al-Sunan ilā Ṣaḥīḥ wa-Ḍa’īf setebal enam jilid. Kitab ini banyak kedapatan dan khabarnya disukai oleh pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang menganut aliran Sufi. Mungkin mereka tidak tahu bahawa kritikan-kritikan Mamdūḥ telah dijawab oleh pengikut-pengikut al-Albānī dengan hujah-hujah yang lebih kemas. Antaranya, Syeikh ’Amr ’Abd al-Mun’im dari Mesir dengan kitab nipis berjudul al-Difā’ al-Sunnī ’an al-Albānī wa-al-Jawāb ’an Shubah Ṣāḥib al-Ta’rīf. Selain itu, Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh juga campur tangan dengan kitab Ṭalī’ah Fiqh al-Isnād wa-Kashf Ḥaqīqah al-Mu’tariḍ ’alā al-A‘immah al-Nuqqād tetapi sekadar jawapan ringkas dalam 100 halaman. Syeikh ’Abd Allāh bin ’Ubūd Bāḥumrān dari Yaman pula mengarang Ta’rīf Ulī al-Nuhā wa-al-Aḥlām bi-Mā fī Ta’rīf Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ min al-Akhṭā‘ wa-al-Awhām setebal hampir 800 halaman untuk menangkis kekeliruan yang ditimbulkan Mamdūḥ. Syeikh ’Abd al-Fattāḥ Maḥmūd Surūr pula mengemukakan jawapan menerusi kitab Iḥkām al-Ḥadīd ’alā Maḥmūd Sa’īd bi-Kashf Tajannī-hi ’alā al-Imām al-Albānī wa-al-Radd ’alā Kitābi-hi al-Ta’rīf bi-Awhām Man Qassama al-Sunan ilā Ṣaḥīḥ wa-Ḍa’īf dengan lebih kurang 550 muka surat. 


 Selain itu, beliau juga menulis kitab Raf’ al-Manārah bi-Takhrīj Aḥādīth al-Tawassul wa-al-Ziyārah untuk menyabitkan kesunnahan tawassul dan ziarah makam Rasulullah SAW sekaligus menolak pandangan al-Albānī yang menyalahinya. Tetapi agak malang, kitab beliau tidaklah terlalu kuat untuk melakukan penghujahan. Walaupun kitabnya agak besar termuat dalam 400 halaman, Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh dengan mudah mengemukakan jawapan dengan kitab Ṭalī’ah Ṣiyānah al-Ḥadīth wa-Ahli-hi min Ta’addī Maḥmūd Sa’īd wa-Jahli-hi dalam 170 halaman. Begitu juga dengan Syeikh ’Amr ’Abd al-Mun’im dengan kitab Hadm al-Manārah li-Man Ṣaḥḥaḥa Aḥādīth al-Tawassul wa-al-Ziyārah yang sarat dikandung 380 muka surat. Syeikh Sayyid bin Muḥammad al-Minyāwī dari Mesir juga ada melakukan tentangan tetapi dengan tiga kitab kecil berasingan. Pertama, Madārij al-Sālikīn fī Taḥqīq Ḥādīth As‘alu-ka bi-Ḥaqq al-Sā‘ilīn. Kedua, Fatḥ al-’Alī al-Qadīr fī Taḥqīq Tawassul al-Ḍarīr. Ketiga, Tuḥfah al-Abrār fī Taḥqīq Athar Mālik al-Dār. Kesemua kitab ini digabungkan di bawah satu judul, al-Tankīl li-Mā fī Raf’ Manārah Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ min al-Abāṭīl. 

Buku setebal 90 halaman oleh Maḥmūd Sa’īd Mamdūḥ yang bertajuk Wuṣūl al-Tihānī fī Ithbāt Sunniyyah al-Subḥah wa-al-Radd ’alā al-Albānī pula dijawab oleh murid besar al-Albānī di Jordan, Syeikh ’Alī al-Ḥalabī dengan judul Aḥkām al-Mabānī fī Naqḍ Wuṣūl al-Tihānī setebal lebih 100 muka surat. Sementara itu, kitab Tanbīh al-Muslim ilā Ta’addī al-Albānī ’alā Ṣaḥīḥ Muslim beliau balas dengan Kashf al-Mu’lim bi-Abāṭil Kitāb Tanbīh al-Muslim setebal 310 halaman diikuti pula kitab Rad’ al-Jānī al-Muta’addī ’alā al-Albānī setebal 460 halaman oleh Syeikh Ṭāriq ’Awaḍ Allāh. Sehingga kini tidak didapati ada jawapan daripada Mamdūḥ mahupun penyokong terhadap jawapan-jawapan balas ini.

Namun begitu, pelajar-pelajar Melayu nampaknya tidak tahu atau buat-buat tidak tahu tentang kewujudan jawapan-jawapan balas ini. Mereka mudah sahaja menerima kritikan orang terhadap al-Albānī sambil mengelak membaca jawapan bagi pihak al-Albānī oleh pendukung-pendukung aliran beliau. Akhirnya, mereka menjadikan buku yang telah dibuang orang sebagai hujah malah tersenyum bangga dengannya. 

Isnin, 23 September 2013

Hukum dan Syarat-syarat Bersalin dengan Lelaki

Sila baca perbahasan ringkas tentang hukum dan syarat-syarat bersalin dengan bidan lelaki melalui risalah bertajuk Hukum dan Syarat-syarat Bersalin dengan Lelaki melalui pautan ini: https://archive.org/download/HukumDanSyaratSyaratBersalinDenganLelaki230913/Hukum%20dan%20Syarat-syarat%20Bersalin%20dengan%20Lelaki%20230913.pdf

Ahad, 22 September 2013

Hukum Mengagihkan Daging Korban kepada Bukan Islam dan di Luar Tempat Korban

Haram mengagihkan daging korban wajib kepada bukan Islam di sisi mazhab Shāfi’ī. Hukumnya menjadi makruh bagi daging korban sunat. Di sisi mazhab Mālikī, hukumya adalah makruh sahaja. Walau bagaimanapun, seharusnya saudara seagama didahulukan daripada orang yang mengingkari syariat korban itu sendiri. Juga haram mengagihkan daging korban di luar wilayah korban menurut mazhab Shāfi’ī. Untuk keluar daripada khilaf, sedapat-dapatnya daging korban diagihkan dalam wilayah korban.


Jumaat, 20 September 2013

Hadis-hadis Nur Muhammad di Sisi Syeikh al-Ghumārī

Syeikh Abū al-Faḍl al-Ghumārī (1413 H) seorang tokoh sufi yang terkenal dengan penentangannya terhadap Syeikh Nāṣir al-Dīn al-Albānī (1420 H). Beliau telah mengarang al-Radd al-Muqni’ ’alā al-Albānī al-Mubtadi’ untuk menyerang ulama hadis terkenal dari Syam itu selain tulisan-tulisan lain. 

Walau bagaimanapun, harus diberi perhatian bahawa al-Ghumārī sendiri menolak hadis-hadis yang menyabitkan kewujudan nur Muhammad. Beliau telah mengarang kitab berjudul Murshid al-Ḥa‘ir li-Bayān Waḍ’ Ḥadīth Jābir tentang hadis Jābir RA yang menceritakan penciptaan Nur Muhammad sebagai makhluk pertama. Menurutnya, hadis ini munkar mawḍū’ lā aṣl la-hu fi shay‘ min kutub al-sunnah (munkar lagi palsu, tidak berasal sama sekali daripada kitab-kitab hadis) [hal. 11]

Beliau menafikan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh ’Abd al-Razzāq al-Ṣan’ānī [ibid.] Beliau juga mengingkari hadis ‘aku menjadi nur di depan Tuhanku 14000 tahun sebelum Dia menciptakan Adam’ bahkan mendustakannya [Ibid.] Selain itu, beliau secara jelas menolak konsep nur Muhammad yang dicadangkan oleh golongan Sufi ketika membuat bantahan terhadap kisah para isteri Rasulullah SAW hendak membalut tubuh baginda dengan kain tetapi tidak dapat kerana baginda adalah nur dengan berkata: keadaan baginda sebagai nur adalah maknawi seperti menamakan al-Quran dengan nur dan sebagainya kerana baginda/al-Quran menerangi akal dan hati [ibid.] Ini jelas bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh pendukung fahaman nur Muhammad yang mengatakan bahawa baginda benar-benar berasal daripada cahaya yakni merupakan nur secara hakiki.

Beliau turut mendustakan hadis yang terkenal ‘lawlā-ka lawlā-ka mā khalaqtu al-aflāk (kalau bukan kerana engkau (Muhammad), kalau bukan kerana engkau sudah tentu aku tidak akan menciptakan falak ini (dunia) [ibid.]. Beliau juga menyanggah perbuatan sebahagian sufi yang memasukkan hadis-hadis mawḍū’ dalam kitab-kitab maulid kerana hadis-hadis yang ditolak ansurkan dalam bab fadilat hanyalah hadis-hadis ḍa’īf, bukan mawḍū’. Hadis-hadis palsu dilarang disebut secara ijmak kecuali untuk menyatakan kepalsuannya [hal. 14]. Seterusnya, beliau berkata “kelebihan Nabi SAW sabit dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih tanpa memerlukan apa yang disebutkan tentangnya berupa dusta dan ghuluww” [hal. 14]

Rujuk: Murshid al-Ḥa‘ir li-Bayān Waḍ’ Ḥadīth Jābir; http://www.aicp.org/SupportingDocs/MurshidAlHaairLibayan.pdf

Jumaat, 6 September 2013

Kemarau Panjang

Mantari makin garang
Mengekah tanah kontang
Debu-debu pun terbang
Rambut pun menggerbang.

Puas sudah membilang
Hujan tiada datang
Adakah perlu berdagang
Baru lebat menjelang?

Kedai Buloh, Kota Bharu
4 September 2013.