Rabu, 22 Ogos 2012

Di Mana Allah?: Antara Asya'irah, Maturidiyyah, dan Hanabilah

"Di manakah Allah?" Masalah di manakah Allah masalah yang teramat besar. Umat Islam sejak zaman salaf sehingga zaman ini masih tidak henti-henti membicarakannya. Para ulama menulis kitab membincangkan isu ini. Tidak hanya mereka, ustaz-ustazah yang baru mengenal kitab-kitab Arab pun mula menuturkan masalah ini. Malah, anak-anak muda yang tidak mengenal huruf pun mahu masuk campur membahaskan masalah tersebut.

Sedari dahulu, para ulama yang semuanya mengaku bermazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berselisih dalam menjawab persoalan di manakah Allah. Antara mereka ada yang menjawab “Allah di langit” atau “Allah di atas ‘arsy.” Sebahagian ulama pula menyanggah lalu mengatakan “Allah tidak berada di langit atau di atas ‘arsy. Sesungguhnya Allah tidak bertempat”. Tidak kurang juga kedengaran dalam kalangan umat yang menyebut “Allah ada di mana-mana”.

Orang-orang Islam pasti kebingungan. Mengapa sampai ada tiga jawapan bagi persoalan ketuhanan ini? Khilaf ini bukan khilaf biasa. Sesetengah golongan sampai mengkafirkan golongan yang lain.

Tidak ada gunanya disenaraikan dalil-dalil bagi menyokong mana-mana pihak di sini. Hujah bagi pihak yang benar terbentang luas. Tidak tersembunyi. Tetapi, bagi orang-orang yang malas hujah secerah mantari tetap tidak kelihatan.

Sebenarnya, masalah ketuhanan sebegini muncul sejak kurun pertama Hijrah lagi. Ajaran ini ketika itu tersebar luas menemui bangsa-bangsa yang baharu. Umat Islam meneliti al-Quran dan sunnah dengan tekun. Hanya ketekunan itu kadang-kadang tidak ditemani dengan tunjuk ajar para ulama menyebabkan mereka tersesat. Al-Quran dan sunnah tidak difahami dengan metodologi yang benar. Antara mereka Jahm bin Shafwan. Kepadanyalah disandarkan mazhab Jahmiyyah yang disesatkan atau bahkan dikafirkan oleh para ulama. Juga Washil bin ‘Atha’ pengasas mazhab Mu’tazilah.

Orang-orang yang sesat ini cuba memahami nas tanpa bantuan guru. Barangkali mereka menganggap para sahabat dan tabiin sesat sehingga pegangan mereka tidak sama dengan pegangan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam sampai mereka terpaksa mengkaji semula al-Quran dan sunnah dengan gaya baru. Gaya bid’ah lagi dhalalah. Hasilnya, mereka menyimpulkan kesimpulan-kesimpulan yang dahsyat. Sama seperti Qur’aniyyun yang cuba mentafsirkan al-Quran tanpa bantuan sunnah dan kata-kata ulama tetapi hanya berpandukan pengetahuan bahasa Arab dan ketajaman fikiran. Kononnya! Sesat lagi menyesatkan.

Pada zaman dahulu itu, muncul fahaman baru tentang Allah yang menyalahi nas-nas al-Quran dan sunnah. Fahaman tersebut mendakwa Allah tidak mempunyai sifat. Sebab, sifat adalah sesuatu yang bersifat baharu dan makhluk sedangkan Allah tidak baharu dan tidak pula makhluk. Menyifatkan Allah dengan sesuatu sifat bererti menyamakan Allah dengan makhluk. Oleh sebab itu, semua sifat-sifat Allah yang dinaskan dalam al-Quran dan sunnah wajib ditakwil untuk menjadikan sifat tidak lagi sebagai sifat.

Ulama-ulama Ahli Sunnah yang berguru dengan murid-murid sahabat dan tabiin tidak berpeluk tubuh melihatkan kesesatan mula membiak di tengah-tengah umat. Mereka pun menyanggah fahaman-fahaman Jahmiyyah dan Mu’tazilah itu. Pada masa itu, Ahli Sunnah masih utuh kesatuannya. Mereka mempunyai satu akidah dan satu manhaj. Tidak seperti hari ini.

Ahli Sunnah ketika itu yang perjuangannya didukung oleh imam-imam agung seperti Imam Malik dan Ahmad bersatu dalam mengimani sifat-sifat Allah sebagaimana yang diwahyukan kepada Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam dan sebagaimana yang disampaikan oleh baginda. Mereka tidak mentakwilnya sama sekali. Memang wujud riwayat-riwayat yang menunjukkan mereka juga mentakwil tetapi teramat sedikit dan tidak sahih atau tidak sarih. Walau bagaimanapun, Ahli Sunnah yang wujud pada hari ini boleh dikatakan bersependapat dalam mengatakan bahawa ulama-ulama Ahli Sunnah pada zaman salaf tidak mentakwil kebanyakan ayat-ayat dan hadis-hadis sifat. Sama ada Ahli Sunnah pada zaman salaf mengisbatkan sifat-sifat tersebut ataupun tidak dengan menyerahkan maknanya kepada Allah, itu persoalan kedua. Yang penting, mereka tidak mentakwilnya.

Kemudian, muncul mazhab Asya’irah dan Maturidiyyah dalam kalangan Ahli Sunnah pada kurun ketiga dan keempat Hijrah. Kedua-dua mazhab ini dibawa oleh ulama-ulama kalam iaitu ulama-ulama yang menggunakan ilmu falsafah dan mantik secara meluas dalam menghuraikan persoalan-persoalan akidah. Metodologi baru ini dengan rupa tersebut tidak pernah wujud sebelumnya dalam tradisi Ahli Sunnah menyebabkannya dibantahi oleh ramai Ahli Sunnah yang berpegang dengan tradisi ulama-ulama sebelumnya.

Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah melakukan pembaharuan dalam ilmu akidah dengan mengisbatkan sesetengah sifat dan mentakwil sebahagian yang lain. Sebagaimana yang masyhur pada zaman sekarang Asya’irah mengisbatkan 20 sifat asas bagi Allah taala. Antaranya sifat mukhalafah li al-hawadits. Ertinya, Allah taala tidak sama dengan makhluk baik zat, sifat, dan perbuatan.

Dalam al-Quran, Allah taala seakan-akan menyifatkan diri-Nya dengan sifat-sifat makhluk. Demikian juga dalam hadis. Keadaan ini secara zahirnya bercanggah dengan sifat mukhalafah li al-hawadist. Untuk menyelesaikan percanggahan tersebut, ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah menggariskan kaedah takwil. Takwil yang digariskan oleh mereka berdasarkan penggunaan bahasa Arab.

Akan tetapi, mereka menghadapi masalah baru apabila mendapati ulama-ulama Ahli Sunnah sebelum mereka tidak menggunakan kaedah takwil sebagaimana yang diperkenalkan oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka menganggap Ahli Sunnah pada zaman salaf melakukan takwil dengan kaedah lain yang dinamakan ‘ta’wil ijmali’ sementara mereka melakukan takwil tafshili. Takwil ijmali bererti menolak unsur-unsur tasybih dalam al-Quran dan sunnah semuanya sekali tanpa mengemukakan takwilan setiap nas sebaliknya menyerahkan urusannya kepada Allah. Takwil tafshili pula, menolak unsur-unsur tasybih semuanya sekali kemudiannya mengemukakan takwilan bagi nas-nas satu-persatu. Maknanya, manhaj ulama-ulama Ahli Sunnah salaf tidak berbeza dengan manhaj mereka. Mereka hanya menambahkan usaha dengan memberikan makna yang sesuai bagi setiap nas yang ditakwil. Demikian menurut mereka.

Pendapat ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah tidak dipersetujui oleh ulama-ulama Hanabilah yang berusaha untuk berpegang teguh dengan manhaj Ahli Sunnah terdahulu. Mereka menolak dakwaan bahawa Ahli Sunnah salaf melakukan takwil ijmali. Bagi mereka, Ahli Sunnah salaf mengisbatkan sifat bukan mentakwilnya. Walaupun mereka mengisbatkan sifat-sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan sunnah, mereka tetap menolak tasybih. Kerana itulah mereka selalu menyebut “setiap sifat Allah yang warid daripada al-Quran dan hadis kami beriman dengannya tanpa tasybih atau takwil” dan seumpamanya. Mereka memilih jalan tengah iaitu antara tasybih dengan takwil iaitu beriman dengan sifat-sifat Allah tanpa menyerupakannya dengan sifat-sifat makhluk atau mentakwilnya sehingga mengubah makna nas.

Jadi, Ahli Sunnah pada hari ini terbahagi kepada dua iaitu golongan yang cuba meneruskan tradisi salaf mereka yang dikenali sebagai Hanabilah, Atsariyyah, dan Salafiyyah; dan golongan yang membawa manhaj baharu yang dikenali sebagai Asya’irah dan Maturidiyyah, dan Khalafiyyah. Masing-masing dengan gaya dan manhaj tersendiri.

Demikianlah penjelasan ringkas untuk memahami punca sebenar perpecahan Ahli Sunnah. Orang yang tidak tahu punca selalu hilang punca.

Antara sifat-sifat Allah yang kerap diperselisihkan adalah sifat ‘uluww dan fauqiyyah. Sifat ini zahirnya kedapatan dalam banyak nas al-Quran dan hadis. Ulama-ulama Salafiyyah mengisbatkan sifat ini dengan mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis iaitu ‘Allah di langit’ atau ‘Allah di atas ‘arsy’. Mereka tidak mengatakan ‘Allah di langit atau ‘arsy sebagaimana makhluk’.

Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah pula mentakwil sifat ‘uluww dan fauqiyyah dengan mengatakan ‘uluww dan fauqiyyah yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis adalah majazi bukan hakiki. Iaitu, Allah maha tinggi martabat-Nya bukan kedudukan zat-Nya. Alasan mereka, menyatakan zat Allah berada di atas langit atau di mana-mana tempat bererti menempatkan zat Allah. Sifat menempati sesuatu sifat makhluk. Makhluk berhajat kepada tempat. Allah maha suci daripada menyerupai makhluk. Jadi, Allah tidak bertempat dan zat Allah tidak berada di atas langit atau di mana-mana tempat sama sekali.

Hakikat yang tidak diketahui oleh ramai pengikut Khalafiyyah yang jahil adalah mendakwa bahawa ulama-ulama Salafiyyah mengatakan bahawa zat Allah berada di langit dengan makna berada di dalam langit sedangkan yang sebenarnya zat Allah menurut mereka tidak berada di dalam lingkungan makhluk sama sekali. Langit makhluk. Jadi, ‘di langit’ yang dimaksudkan oleh mereka adalah ‘di atas langit’ atau ‘di atas sekalian makhluk’. Mereka cuba mengikut ulama-ulama salaf Ahli Sunnah dan inilah manhaj mereka menurut kefahaman mereka. Mereka mengisbatkan apa yang salaf isbatkan dan mereka memperincikan apa yang salaf perincikan.

Disebabkan tempat adalah sebahagian daripada makhluk, bolehlah dikatakan bahawa akidah Salafiyyah bahawa Allah taala di atas sekalian makhluk-Nya tidak bercanggah dengan akidah Khalafiyyah bahawa Allah taala tidak bertempat. Sebab, apabila dikatakan bahawa Allah taala berada di atas sekalian makhluk-Nya bererti Allah berada di luar tempat atau tidak berada di dalam tempat. Jadi, batallah dakwaan bahawa Salafiyyah atau mereka memanggilnya Wahhabiyyah kafir atas alasan mengatakan Allah bertempat. Demikianlah sesatnya orang-orang yang sesat. Sesat dalam mendakwa sesat kepada orang-orang yang tidak sesat.

Sesetengah orang yang jahil juga mendakwa Salafiyyah tidak mentakwil sama sekali sama ada ayat sifat atau tidak. Hal ini bertentangan dengan apa yang terkandung dalam mazhab Salafiyyah itu sendiri. Barangkali mereka tidak tahu membaca tulisan Arab sehingga tidak mampu membaca kitab-kitab para ulama Salafiyyah sehingga menuduh mereka apa yang tidak pernah mereka lakukan. Alangkah buruknya apa yang mereka lakukan!

Mereka juga mendakwa Salafiyyah mengatakan Allah taala bersemayam di atas ‘arsy seperti makhluk walhal akidah Salafiyyah tentang mukhalafah li al-hawadits sama seperti akidah mereka. Cuma, dalam masalah bersemayam atau beristiwa’ di atas ‘arsy, ulama-ulama Salafiyyah mengisbatkannya sebagaimana yang diisbatkan oleh al-Quran dan hadis selain kata-kata ulama salaf menurut apa yang mereka fahami. Mereka hanya mengisbatkan maknanya dan menyerahkan urusan tentang kaifiat istiwa’ kepada Allah taala. Ertinya, isbat makna tetapi tafwidh kaifiat. Tidak ada takwil. Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah pula memilih antara dua: tafwidh atau takwil maknanya. Tidak ada isbat.

Demikianlah penjelasan berkenaan isu di manakah Allah. Wallahu’alam.

3 ulasan: