1. Imam al-Ghazali (men. 505 H) telah mengarang lima buah kitab yang lengkap khusus dalam furuk fikah Syafi'i iaitu: al-Basith, al-Wasith, al-Wajiz, dan al-Khulashah.
2. Al-Basith fi al-Madzhab adalah ringkasan kepada ensiklopedia fikah Syafi'i yang dikarang oleh gurunya, Imam Abu al-Ma'ali al-Juwaini (men. 478 H), Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Madzhab setebal 21 jilid. Nihayah al-Mathlab adalah syarah Mukhtashar al-Muzani yang merupakan kitab utama dalam mazhab Syafi'i selain al-Umm. Malah, Mukhtashar al-Muzani lebih diberi perhatian oleh ulama daripada al-Umm. Al-Umm sehingga hari ini tidak disyarah atau diberi catatan oleh ulama walaupun al-Umm dikarang oleh Imam al-Syafi'i sendiri.
3. Kitab al-Basith walaupun ringkasan kepada Nihayah al-Mathlab tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (men. 676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan. Kitab ini belum dicetak dan ada sumber mengatakan bahawa kitab dalam proses penerbitan oleh Dar al-Minhaj.
4. Al-Wasith ringkasan kepada al-Basith sementara al-Wajiz ringkasan kepada al-Wasith. Al-Wasith inilah yang diringkaskan oleh al-Rafi'i melalui al-Muharrar.
5. Al-Khulashah atau nama lengkapnya, Khulashah al-Mukhtashar wa Naqawah al-Mu'tashar adalah ringkasan kepada Mukhtashar al-Muzani bukan al-Wajiz sebagaimana yang dipercayai sesetengah kalangan.
6. Ihya' 'Ulum al-Din walaupun bukanlah kitab khas fikah tetapi ramai fukaha mazhab mengambil kira huraian fikah di dalamnya. Selain itu, Imam al-Ghazali juga mempunyai sebuah kitab fatwa yang menghimpukan fatwa-fatwa yang pelbagai selain kitab-kitab lain yang menjawab soalan-soalan secara khusus.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan