Khamis, 1 November 2012

Citra Cinta



Ustaz mengetuk pintu rumah. Berkali-kali. Sunyi tanpa jawab. Sekarang waktu zohor, agak-agaknya Aisyah sedang qailulah. Ustaz meraba-raba saku seluarnya menyampai telefon bimbitnya. Belum sempat butang-butangnya dipicit, pintu dikuak. Ustaz masuk dan disambut wajah ayu isterinya yang kelihatan agak cemas. 

"Maaf bang, Aisyah solat tadi," ucapnya dengan tangan dihulur menyalami suami.
"Oh, ya ke? Tak apa. Abang ingat Aisyah tidur tadi." Jawab ustaz.
"Abang dah solat?" Aisyah bertanya.
"Dah, di masjid kampus tadi."

Mereka berdua pun duduk di atas sofa yang mendiami ruang tamu. Alunan ayat-ayat al-Quran dari pembesar suara komputer riba yang terletak di atas meja kecil dihentikan. Bacaan Syaikh Masyari al-'Affasi yang menyerikan suasana rumah seketika. Didengari oleh Aisyah untuk memantapkan hafalannya. Selang sehari ia akan memperdengarkan hafazannya kepada ustaz.

Aisyah ke dapur dan kembali ke ruang tamu sambil menatang secawan teh dan sepinggan cengkodok untuk dijamu ustaz. Dengan nama Allah, ustaz menghirup teh yang sedia panas seteguk dua.

"Kak Ros mengajar hari ni?" 
"Tak, hari ni Ros terpaksa siapkan kertas kerja untuk seminar Ahad depan."
"Oh ya, lupa. Kak Ros ada bagi tahu."
"Bang, tadi adik telefon. Aisyah ada cakap pasal seminar tu. Dia berminat nak ikut. Boleh tak?"
"Adik?"
"Iman la."
"Oh, kalau Iman tak boleh la. Kalau Izzah tak apa. Kan pembentang semuanya perempuan. Mana boleh lelaki masuk."

Aisyah menunduk sambil merenung sesuatu pada jari-jemarinya. Ia cuti hari ini. Study week. Kemudian, ia bersuara."Abang, kenapa abang tak buat bahagian khusus untuk lelaki."

"Ya tak ya juga. Tapi rasanya dah tak sempat. Untuk masa-masa akan datang, insya-Allahlah, abang usulkan dalam mesyuarat nanti."

Aisyah yang masih muda, usianya dalam lingkungan 20-an itu menghidupkan kembali komputernya yang mula padam seminit yang lalu. Ia mencari-cari maklumat berkenaan al-Mukhtashar karya al-Buwaithi, murid Imam al-Syafi'i sedang ustaz berehat meletakkan kepalanya di atas bahu sofa. Kopiahnya ditanggalkan dan dibiarkan di atas meja. 

"Aisyah, malam ni boleh tolong abang tak?" Tanyanya serius.
"Boleh je bang kalau Aisyah mampu." Wajahnya berubah sedikit. Runsing juga kalau-kalau pinta suaminya itu tidak disanggupinya.

"Tolong semak artikel abang pasal perbandingan antara Islam dan Hindu."
"Tu je?"
"Ya, ingatkan apa la tadi. Nak semak tesis ke, nak teman pergi KL ke. Huhu" Comel ia ketawa. Nakal menghiburkan ustaz yang kepenatan. Seharian ia melayani kunjungan Felo Kanan UIAM yang berbicara tentang beberapa isu berkaitan penularan Syiah di sana.

"Satu lagi, lepas tu, ayang tolong upload ke dalam website abang." Walaupun peluh masih tidak hilang daripada bajunya, sang raja cuba bermanja dengan permaisurinya. Ia mencuri-curi pandang wajahnya yang tidak pernah diperlihatkan kepada sesiapa melainkan kepada mahramnya sehinggalah ia dipetik beberapa bulan yang lalu.

"Boleh sangatlah. Lagipun, Aisyah baru khatamkan madah Ekonomi Islam untuk exam Isnin depan. Buku yang sayang minta Aisyah baca tu pun dah habis baca. Best juga. Banyak fawa'id tentang Imam al-Ghazali Aisyah dapat."
"Oh, ya ke? Lupa pula abang. Aisyah ada imtihan rupanya. Pergi tak Seminar Psikologi Praremaja Perempuan tu?"
"Ya, insya-Allah." Jawabnya dengan pasti.
"Letih Ros buat kajian tu. Rugi la kalau Aisyah tak pergi."
"Betul tu, Aisyah pun suka gaya akak cakap dalam program-program besar gitu. Tak mengantuk. Tapi, Aisyah tak boleh janji, sebab takut kalau-kalau kawan-kawan Aisyah minta ajarkan madah Ekonomi Islam tu."
"Tak apa, kalau macam tu, biar abang rakamkan," tuturnya sambil tangan menyela-nyela janggutnya.

Ustaz Adha memang mengagumi hasil kerja yang dilakukan Ros, isterinya yang dinikahi ketika berumur 21 tahun dahulu; setelah lebih sepuluh kali percubaan mendapatkan jodoh pertamanya. Rapi dan teliti. Ros yang lebih tua dua tahun daripadanya itu ditemuinya di Maahad al-Firdaus dengan perantaraan mudirnya, Ustaz Amin. Tidak terkata Ustaz Adha tatkala melafazkan ijab kabul enam tahun yang lepas itu. Ia bagaikan tidak percaya bahawa ia berjaya mengahwini seorang gadis yang akhirnya membantunya mengharungi suka duka sepanjang perjalanannya mendapatkan dua master dan satu Phd itu dengan master kedua di bumi Yaman itu. Ia sujud syukur dengan linangan air mata disaksikan semua yang hadir pada majlis akad nikah itu. Haru dan sayu sekali.

Tidak sia-sia pencarian Dr. Adha bin Fitri itu. Meskipun hampir sahaja ia berputus asa kerana gagal setelah gigih mencuba, menemukan bidadari seperti Ros sudah lebih daripada cukup buatnya. Ia berazam untuk tidak menikah lagi. Ia benar-benar terhutang budi kerana kesanggupan Ros menerima sementara orang memulau hasrat hatinya.

Hanya sahaja Dr. Ros binti Mustafa itu begitu faham akan psikologi suaminya yang masih muda dan mendapati dirinya sudah mula sibuk dengan tugasan di Kolej al-Nur li al-Banat, ia mengambil langkah memadukan dirinya dengan murid kesayangannya, Aisyah. Sungguh baik hati. Jauh daripada fahaman yang dibawa oleh feminisme dan golongan yang menghalang pelaksanaan poligami dengan pelbagai alasan. Aisyah pun tidak bermasalah menerima pelawaan Ustazah Ros kerana sejak mula perkenalan mereka berdua, ustazah sudah mula bercakap tentang ta'addud zaujat. Agak-agaknya ustazah awal-awal lagi berkenan dengan Aisyah untuk dijadikan sebahagian daripada keluarganya. Lagipun, ustazah mula mengesyaki bahawa ia tidak mampu melahirkan cahaya mata buat ustaz.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah kalau-kalau cinta ustaz ditolak juga oleh Ustazah Ros itu. Barangkali ustaz tidak mampu berdiri lagi di atas jalan perjuangannya. Mungkin ia rebah dan tersungkur. Siapa yang dapat menggantikan tempat ustaz sebagai ulama yang lincah dalam memangkas serangan-serangan Syiah dan antihadis dengan tinta dan kata. Karya agungnya, Ahkam al-Masajid dalam bahasa Arab dan Melayu yang menjadi bacaan wajib bagi bakal-bakal imam dan bilal di seluruh negara mungkin tidak akan wujud buat selama-lamanya.

Episod-episod bahagia itu dinikmatinya seketika sebelum matanya tertutup keletihan. Aisyah beralih tempat untuk memberi ruang kepada imam hidupnya itu berehat dengan tenang. Ia tahu amat kesibukan ustaz berkhidmat untuk Islam. Dengan penuh rasa cinta dan sayu, ia menatap wajah suaminya seraya mendoakan agar anak pertama ustaz yang dikandungnya itu bakal menjadi seperti ayahnya. Amin.

Catatan: demikian citra cinta yang dicita-citakan. Sekadar menggambarkan impian yang dinanti-nanti selama ini. Bukankah indah begitu?

Sayang seribu kali sayang, ramai yang tidak menyedari, masih memilih untuk menyendiri.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan