Khamis, 14 November 2013

Sunnah Mendoakan Bayi

Tuhfah al-Wadud/al-Mawdud bi-Ahkam al-Mawlud oleh Ibn al-Qayyim

Mendoakan bayi tidak sama dengan ucapan tahniah kerana ucapan tahniah ditujukan kepada pihak yang berkaitan dengan bayi sementara mendoakan bayi dikhususkan untuk bayi itu sendiri. Petunjuk Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama adalah mengucapkan ucapan doa keberkatan kepada bayi. Baginda melakukannya apabila dibawakan bayi untuk diambil berkat. ’Ā‘ishah  mengatakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيَدْعُو لَهُمْ...
Selalu/pernah bayi-bayi dibawakan kepada Nabi ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama lalu baginda pun berdoa kepada mereka.

Hadis ini muttafaq ’alay-hi dengan lafaz al-Bukhārī. Dalam riwayat Muslim, dijelaskan bahawa doa yang dimaksudkan adalah doa keberkatan. Riwayat tersebut berbunyi:

أَنَّ رَسُولَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ.
... Bahawa bayi-bayi pernah/selalu dibawakan kepada Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama lalu baginda pun mengucapkan doa keberkatan kepada mereka dan mentahnik mereka.

Dalam riwayat Abū Dawūd pula, disebutkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيَدْعُو لَهُمْ بِالْبَرَكَةِ.
Pernah/selalu bayi-bayi dibawakan kepada Rasulullah ṣallā Allāḥ ’alay-hi wa-sallama lalu baginda berdoa kepada mereka dengan keberkatan.

Daripada hadis ini, jelaslah bahawa doa yang digalakkan untuk diucapkan kepada bayi adalah doa keberkatan. Ini hampir sama dengan ucapan tahniah yang diucapkan semasa perkahwinan dan ucapan tahniah sempena kelahiran al-Ḥasan al-Baṣrī dan Ayyūb al-Sakhtiyānī. Selain hadis tadi, terdapat hadis-hadis lain dalam bab ini. Antaranya, hadis Abū Mūsā al-Ash’arī  yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan