Rabu, 6 November 2013

Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī dan Kitab-kitab Kritikan Terhadapnya

Antara tokoh sensasi dunia Islam adalah susuk tubuh seorang ulama yang lahir daripada rahim Universiti al-Azhār, Mesir, lahir pada tahun 1926 bernama Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī. Beliau seorang Ikhwānī dan pemikirannya lebih kepada Ikhwān berbanding al-Azhar. Keadaan ini berpunca daripada asuhan langsung Syeikh Ḥasan al-Bannā, pengasas gerakan selain penglibatan beliau secara terus-menerus dalam gerakan Ikhwān. Malah, beliau pernah dipenjarakan kerajaan Mesir kerananya. Beliau kini menjawat jawatan mufti di Qatar dan masih aktif menyuarakan pandangan ke seluruh pelosok dunia.

 Dunia Islam pada hari ini mengangkat beliau sebagai ulama dunia. Nama tokoh ilmuwan yang dinobatkan sebagai Muslim yang ke-16 berpengaruh di dunia oleh The World's Influential Muslims edisi 2012 ini semakin menyerlah apabila diangkat sebagai pengerusi International Union for Muslim Scholars. Kehebatan beliau mengemukakan idea membuatkan umat Islam terpegun. Ahli-ahli agama di Malaysia menjadikan fatwa-fatwa beliau rujukan utama pada hari ini dan mendahulukannya daripada fatwa ulama-ulama lain termasuk Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī. Hanya pendapat-pendapat beliau yang dirasakan akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat Islam tempatan disenyapkan. Itupun ditimbulkan dalam sesetengah keadaan atau secara berlapik. Antara contoh, jamak solat kerana kesibukan yang nadir dan bersalam dengan lawan jantina.

Syeikh al-Qaraḍāwī memang tokoh ulama yang agung tetapi metodologi beliau dalam berinteraksi dengan nusus dan warisan ulama-ulama silam terbukti tidak sah dan melampau sehingga didapati melakukan jenayah ilmiah dalam membenarkan ideanya. Lantaran itulah, ramai ulama dan sarjana daripada pelbagai aliran dan negara mengadakan bantahan khusus terhadap beliau. Tidak terhad kepada golongan Salafiyyah, kelompok Khalafiyyah yang terdiri daripada pelbagai aliran akidah dan fikah pun menyerang pemikiran yang dibawanya. Tetapi, sebahagian daripada kritikan itu bersifat melampau dan tidak ilmiah membuatkan ramai pengikut beliau tidak terkesan dengan kritikan tersebut malah menimbulkan rasa simpati terhadapnya.

 Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī pernah mengomentari pemikiran beliau. Menurutnya: ... Yūsuf al-Qaraḍāwī condong kepada sesetengah pendapat yang dinukilkan yang masih memerlukan kepada kajian. Ini adalah poinnya apabila kita melihat (pendapat-pendapat tersebut) bertentangan dengan nas-nas yang qaṭ’ī seperti pendapat bahawa azab dalam neraka Jahanam sementara dan tidak kekal atau sentiasa berlaku dan seperti kecenderungan kepada pendapat golongan yang mengharuskan nyanyian dan muzik serta (keharusan) lelaki bersalam dengan sebahagian wanita yang bertembung dengan pendapat majoriti mujtahid. Dan seperti pendapat keharusan wanita yang baru memeluk Islam terus bersama suaminya yang masih setia dengan agamanya (bukan Islam). Juga seperti (menghalalkan) pinjaman perumahan dengan faedah bak di negara-negara Barat kerana hajat atau darurat yang lebih banyak daripada ukurannya. Dan pendapat-pendapat lain yang kami menyalahinya dalam manhaj dan aplikasi. [http://www.islamsyria.com/article.php?action=details&AID=1375]

 Antara kitab-kitab yang dikhususkan untuk mengkritik pemikiran beliau ialah:

- Al-Qaraḍāwī fī al-’Arā‘ oleh Syeikh Usāmah al-Sayyid, dari Mesir beraliran Khalafī.
- Tanbīh al-Muslimīn min Ḍalālāt Yūsuf al-Qaraḍāwī oleh Syeikh Syed Irshād Aḥmad al-Bukhārī, dari Bangladesh beraliran Khalafī.
- Raf’ al-Lithām ’an Mukhālafah al-Qaraḍāwī li-Ahl al-Islām oleh Syeikh Aḥmad bin Muḥammad bin Manṣūr al-’Adīnī, dari Yaman beraliran Salafī.
- Al-Qaraḍāwī fī al-Mīzān oleh Syeikh Sulaymān bin Ṣāliḥ al-Kharāshī, dari Arab Saudi beraliran Salafī.
- Manhaj al-Baḥth wa-al-Fatwā fī al-Fiqh al-Islāmī Bayna Inḍibāt al-Sābiqīn wa-Iḍṭirāb al-Mu’āṣirīn al-Sayyid Sābiq wa-al-Ustādh al-Qaraḍāwī Anmūdhujan oleh Syeikh Muṣṭafā Bashīr al-Ṭarāblisī, dari Libya beraliran Khalafī.
- Al-Radd al-Qawī ’alā Ibn al-’Arabī wa-al-Qaraḍāwī oleh Syeikh ’Abd al-Ḥayy bin Muḥammad bin al-Ṣiddīq al-Ghumārī dari Maghribi beraliran Khalafī.
- Al-Radd ’alā al-Qaraḍāwī wa al-Juday’ (dua jilid) oleh Syeikh ’Abd Allāh Ramaḍān Mūsā, dari Mesir beraliran Salafī.

Selain dalam bentuk kitab, para ulama juga mengadakan bangkangan dalam bentuk makalah, fatwa, dan sebagainya. Walaupun banyak kritikan terhadap ketokohan beliau dalam ilmu-ilmu agama, agamawan Malaysia langsung tidak mengendahkannya dan terus fanatik terhadapnya hatta kelompok yang mendakwa ijtihad terbuka pun semacam bertaklid dengan fatwa-fatwa beliau. Seharusnya sikap ini dihindari demi mengelakkan pemikiran umat Islam menjadi jumud dan dilanda kemarau taklid versi moden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan