Sabtu, 17 November 2012

Imam al-Syafi'i Kedua?

Sejarah mencatatkan, pada kurun kedua Hijrah, berlaku pergeseran yang teruk antara aliran Ahl al-Hadits dan Ahl al-Ra'y sehingga membawa kepada pertelingkahan dan perbalahan. Kitab 'Abd Allah bin Ahmad bin Hanbal, al-Sunnah wa al-Radd 'ala al-Jahmiyyah, antaranya mencatatkan puluhan jarh ulama-ulama hadis kepada Imam Abu Hanifah khususnya dalam manhajnya berijtihad yang cenderung kepada penggunaan akal melebihi nas -mengikut kaca mata Ahl al-Hadits-.

Kemudian, muncul Imam al-Syafi'i (men. 204 H) yang dianggap sebagai ulama yang berjaya menguasai fiqh Ahl al-Hadits yang dipelopori oleh Imam Malik bin Anas di Hijaz dan fiqh Ahl al-Ra'y yang diketuai oleh Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Tsabit di Kufah. Dengan menggabungkan fiqh mazhab Maliki di Hijaz dengan fiqh mazhab Hanafi di Kufah, lahirlah mazhab Syafi'i sebelum munculnya mazhab Ahl al-Hadits seterusnya, mazhab Hanbali yang agak agresif berijtihad menggunakan hadis sehingga didakwa turut mengambil hadis dha'if dalam membina hukum-hakam.

***

Sejarah berulang lagi. Aliran Ahl al-Hadits dan Ahl al-Ra'y mula secara jelas dilihat dikembangkan dengan pesatnya oleh para ulama. Lihat aliran Syaikh al-Albani dengan misi mengembalikan fiqh kepada al-Quran dan hadis dengan aliran Syaikh al-Qaradhawi dengan pendekatan taisir dan tajdidnya. Tambahan pula muncul pengaruh besar dalam dunia ilmu, politik, dan sosial umat Islam masa kini iaitu: Ikhwan al-Muslimin dan Salafiyyah.

Saya kira, akan muncul Imam al-Syafi'i kedua yang menggabungkan antara kedua-dua aliran: Ahl al-Hadits dan Ahli al-Ra'y; Ikhwaniyyah dan Salafiyyah. Ikhwaniyyah yang berpusat di Mesir dan Salafiyyah yang bermarkaz di Saudi; walaupun semua tahu bahawa Ikhwaniyyah dan Salafiyyah masing-masing lahir dari perjuangan Syaikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.

Suka saya catatkan, Imam Syafi'i tetap dikira Ahl al-Hadits walaupun mengambil istifadah daripada aliran Ahl al-Ra'y. Jadi, tidak menjadi masalah bagi Ahl al-Hadits dan Salafi mengambil istifadah daripada aliran Ahl al-Ra'y moden dan Ikhwan al-Muslimin.

Bagi saya, itulah lebih baik.

Misi, mencari atau menjadi Imam al-Syafi'i II!

2 ulasan:

  1. assalamualikum.terima kasih ats sgala ilu yg dsmpaikn.sya hrp artkl2 ustz blh dibhagikn mgikut ketegori agr mudh skt untk dibaca mcm blog dr asri,dr zaharuddin,ustz hsrizl dn fathul bari.

    BalasPadam
  2. waalaikumussalam... insya-Allah akan diusahakan. Terima kasih atas kunjungan.

    BalasPadam