Sedihnya hati ini melihatkan umat Islam pada hari ini diperbodohkan oleh jembalang-jembalang berupa guru-guru agama dan ulama. Dengan jubah dan serban mereka menyebarkan hadis-hadis palsu dan cerita-cerita khurafat. Syariat Allah ditambah dengan amalan-amalan yang berasal dari mimpi dan teori akal semata. Hukum-hakam agama mereka ubah sedikit demi sedikit. Akhirnya, agama yang ada pada hari ini jauh berbeza dengan agama yang ada pada hari kelmarin.
Orang-orang yang sempat hidup pada dua puluh tahun dahulu mungkin mengerti benar apa yang ingin disampaikan. Sebab, ketika itu, usaha menghidupkan semula syariat Islam berada di kemuncaknya. Hukum hudud diperjuangkan habis-habisan. Perempuan diharamkan bernasyid apatah lagi bernyanyi. Tidak ada wakil rakyat wanita. Wakil qariah pun tidak. Lutut dipandang aurat sehingga pemain-pemain bola diwajibkan memakai seluar panjang. Nasyid-nasyid ketika itu tidak pernah diiringi dengan alat-alat muzik bertali atau ditiup.
Kini, zaman sudah berubah. Hukum hudud diketepikan seketika walaupun baranya masih belum padam. Perempuan tidak lagi dilarang bernyanyi. Wakil qariah sudah ada. Wanita menjadi seperti lelaki terlibat menjadi wakil rakyat dan senator. Lutut sudah tidak aurat lagi. Pemain bola boleh sahaja menunjukkan paha mereka kepada anak-anak isteri orang lain. Nasyid-nasyid sudah mengenal gitar, piano, dan seruling. Tidak ada rasa bersalah lagi memainkan semua itu.
Rambut perempuan bukan mahram bukan aurat lagi sehingga bebas ditonton seisi keluarga. Artis-artis wanita yang cantik berlakon di dalam filem-filem ‘Islam’. Suruhan Tuhan supaya menundukkan pandangan sekarang difahami dalam keadaan lelaki dan perempuan berselisih di jalanan sahaja. Tidak ada salah melihat perempuan walaupun tidak bertudung kalau dalam skrin dan di atas kertas.
Sekarang, yang tinggal hanyalah haramnya bersalam antara lelaki dengan perempuan ajnabi. Umat Islam hari ini masih belum dapat menerimanya. Barang kali, esok, sama seperti hukum-hakam lain, hukum bersalam ini juga akan disunting sesuai dengan adat dan budaya manusia. Bukan, sesuai dengan hawa nafsu ustaz dan ulama. Inilah realitinya!
Siapakah yang bertanggungjawab untuk membenarkan perempuan bernyanyi, menghantar wakil qariah, menjadi wakil rakyat, membiarkan lutut didedahkan, dan akhirnya, mengharuskan alat-alat muzik?
Mereka adalah ulama dan ustaz-ustaz.
Dahulu, merekalah yang melarang dan mengharamkan semua itu, tetapi kini, mereka pula yang mengharuskannya. Kalau hari ini mereka melarang sesuatu, tidak mustahil esok mereka akan mengharuskannya pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan