Rabu, 27 Februari 2013

Darul Hadis; Harapan dari Malaysia



Sejak awal penglibatan bersama Darul Hadis Mu’tah (DH) lagi, saya mengunci mulut daripada berbicara mengenainya di laman sesawang ini. Meskipun laman ini agak aktif menggugah suasana tenteram dan damai para agamawan di Jordan sana atau di Malaysia sini, nama Darul Hadis tidak pernah dimunculkan. Tidak sebagai sasaran kritikan atau lontaran penghargaan. Saya tidak mahu dikaitkan dengan DH.

Tetapi, kali ini saya rasa puasa itu sudah menemui waktu berbuka. Setelah hampir enam bulan berlepas pulang ke tanah air, DH kedengaran semakin lemah dan memerlukan sentuhan baharu untuk bangun semula. Saya tidak mahu organisasi yang diharapkan dapat menjadi badan ilmu yang berwibawa di dunia itu pengsan begitu sahaja. Sesuatu perlu dilakukan. 

Mungkin adik-adik yang mewarisi sekarang tidak tahu keperitan abang-abang menubuhkan DH satu masa dahulu. Mu’tah gamat tatkala pemikiran mahasiswa Malaysia digugat anasir kejumudan yang dibawa dari alam Nusantara dan pertembungan antara pelbagai aliran fiqh dan pemikiran. Ketika itu, orang bebas menyebarkan kekarutan. Mereka memesongkan fakta dan mengubah kenyataan. Hadis-hadis palsu digandingkan bersama hadis-hadis sahih. Tidak ada sesiapa yang dapat menegur. Jika ada pun, gemanya tenggelam timbul.

Saya dan sahabat-sahabat pengasas DH, Ustaz Hezrirullah, Sobri, dan Najmuddin merasakan sesuatu perlu dilakukan. Senyap bererti reda dengan apa yang berlaku. Akibatnya, ustaz-ustazah lepasan Jordan akan menjadi tali barut musuh-musuh Islam menyebarkan diayah yang menggugat keutuhan tauhid dan ketulenan syariat. Daripada ratusan Melayu di Mu’tah ketika itu, empat orang dipilih sebagai pengerusi, timbalan, setiausaha, dan bendahari. Beberapa lagi menyusul sebagai sayap kanan sebelum ditambah dengan barisan sayap kiri yang pada mulanya agak payah untuk menyudikan diri. Akhirnya, lahirlah DH generasi pertama.

Walaupun saya secara peribadinya condong kepada pemikiran Salafi tetapi kerana memikirkan matlamat untuk mewujudkan masyarakat mahasiswa yang berilmu di atas disiplin-disiplin yang benar lebih penting, saya bertolak ansur. DH tidak memilih salafi sebagai manhajnya. Ini hakikat yang disangsikan kelompok yang skeptik terhadap DH. DH bebas dan tidak memihak kepada mana-mana aliran tertentu selagi terlingkung dalam aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Sebab itulah, DH mempelawa tokoh-tokoh dari aliran selain Salafi masuk ke dalam. Beberapa siri diskusi yang menyokong pendapat dari aliran Asya’irah dan Shufiyyah cukup sebagai bukti apatah lagi DH generasi kedua dibarisi oleh tokoh-tokoh bukan Salafi.
Suara-suara yang tidak enak kedengaran. Fitnah terhadap DH ada sahaja. Setiap waktu, pasti ada yang cuba menggeledah isi perut DH untuk mencari silap. Kami tetap gagah. Suara itu tidak dipedulikan. Kami tahu, hati-hati yang iri hati tidak senang melihat dakwah kepada al-Quran dan sunnah yang sebenar berjaya. Selagi kami tidak memilih jalan mereka, tarekat guru-guru mereka, selagi itulah mereka tidak akan senang. Aktiviti-aktiviti DH bergerak seperti biasa. Terkadang kurang terkadang lebih, itu lumrah. Tidak semua orang cintakan ilmu. 

Seorang demi seorang wira DH mengundur diri kerana terpaksa pulang ke tanah air. Saya dan Ustaz Sobri sempat bersama dengan adik-adik generasi kedua mengepalai DH. Suram. Zahirnya tidak ada perubahan yang berlaku. Tetapi, saya yang bersama dengan pengerusi baru, Ustaz Syafiq Shah tahu apa yang beliau rencanakan. Disebabkan pada waktu itu ramai yang tidak ada di Mu’tah, suasana DH kelihatan hambar. 

Sepulangnya ke Malaysia, khabar DH mula surut. Lama-kelamaan, berita yang begitu menyedihkan, Asasi DH yang saya asaskan diputuskan dibubarkan. Hari ini, ada lagi suara lain yang memberikan petunjuk bahawa DH sedang tenat. Musuh sangat ramai sedang tentera-tentera sibuk mengumpul harta untuk dibawa pulang nanti. 

Wahai adik-adik, bukan DH masalah kita. Masalah kita adalah ilmu dan dakwah. Kita sangat lemah. Ilmu kita sekadar dalam kitab-kitab kuliah. Tidak lebih daripada itu. Kita tidak pandai meniru para ulama membangunkan kota raya ilmu. Di sana ada diskusi, perbahasan, kritikan, syarahan, ulasan, dan sebagainya. Sebab itulah, taraf ilmu di Tanah Melayu sangat rendah. Ulama-ulama Arab dan Asia Tengah sedang menyiapkan jilid kesejuta, sedangkan kita masih tidak jemu menterjemah jilid keseratus tulisan mereka.

Malulah sikit.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan