Sering kali penuntut-penuntut ilmu tidak dapat membezakan antara Imam Ibn al-Jawzī (w 597 H) dengan Ibn Qayyim al-Jawziyyah (w 751 H) kerana nama mereka hampir serupa. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai beberapa persamaan. Antaranya mereka berdua pakar ilmu hadis selain bermazhab Ḥanbali.
Bezanya banyak pula terutamanya dari segi akidah. Ibn al-Jawzī meskipun bermazhab Ḥanbali dalam furuk, beliau menolak akidah Ḥanābilah terutamanya dalam bab sifat. Beliau menulis sebuah kitab khusus dalam bab ini, Daf’ Shubah al-Tashbīh bi Akaff al-Tanzīh yang akhirnya menjadi senjata golongan Ashā’irah dan Māturīdiyyah untuk menyerang penentang Ḥanābilah. Namun begitu, beliau bukan seorang Ash’arī atau Māturīdī kerana beliau sendiri menolak kedua-dua aliran tersebut. Beliau dikatakan condong ke arah fahaman Mu’tazilah kerana berguru dengan guru daripada aliran tersebut. Biarpun begitu, beliau tetap dianggap ulama dalam mazhab Ḥanbali oleh ulama termasuk ulama-ulama mazhab tersebut. Mereka hanya mengingkari akidah beliau.
Tiga tahun sebelum kelahiran beliau, seorang ulama ulung, Imam al-Ghazālī (505 H) meninggal dunia. Beliau ulama yang besar dalam mazhab Shāfi’ī. Kitab al-Wajīz, al-Wasīṭ, al-Basīṭ, selain al-Khulāsah yang menjadi kitab penting dalam kalangan ulama mazhab adalah buktinya. Pada masa yang sama, beliau ulama yang pakar dalam akidah dan falsafah. Dengan kepakarannya itu, beliau berjaya menghasilkan karangan-karangan yang mengancam falsafah Barat seperti Tahāfut al-Falāsifah dan al-Munqidh min al-Ḍalāl. Selain itu, beliau terkenal sebagai seorang ahli sufi. Bidāyah al-Hidāyah, Hidāyah al-Sālikīn, dan Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn antara kitab-kitab yang ditulis dalam bidang ini.
Namun begitu, Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn adalah kitab Imam al-Ghazālī yang termasyhur dan terhebat jika hendak dibandingkan dengan kitab-kitab beliau yang lain. Kitab ini kitab ajaib. Dalam kitab tersebut, akidah, fikah, dan tasawuf digaulkan bersama. Berbicara tentang bersuci lahiriah, tidak dilupakan bersuci batiniah, contohnya. Tidak peliklah kalau kitab ini diberikan perhatian yang sewajarnya oleh alim-ulama dengan penghasilan syarah, ringkasan, semakan hadis, saduran, dan sebagainya. Mungkin ramai yang tidak tahu, antara tokoh ulama yang boleh dikatakan menyumbang kepada Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn adalah Imam Ibn al-Jawzī!
Beliau telah menulis kitab Minhāj al-Qāṡidīn wa Mufīd al-Ṣāliḥīn yang merupakan saduran Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn. Ini bermakna, Minhāj al-Qāṡidīn bukanlah ringkasan atau syarah kepada Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn semata-mata tetapi ringkasan berserta dengan tambahan atau suntingan. Jelas Ibn al-Jawzī dalam mukadimahnya: dan aku akan tulis untukmu sebuah kitab yang bebas daripada keburukannya dan mengandungi kebaikan-kebaikannya. Aku akan berpegang kepada riwayat-riwayat yang paling sahih dan masyhur dan makna yang paling sabit dan elok. Aku akan membuang apa yang patut dibuang dan menambahkan apa yang patut ditambah. [Lihat: Mukhtaṡar Minhāj al-Qāṡidīn (1983 H) oleh Najm al-Dīn Ibn Qudāmah al-Maqdisī; Iskandariah: Dār al-Da’wah; hal. 9]
Perhatikan katanya ‘bebas daripada keburukannya’. Apa maknanya? Adakah Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn ada keburukan? Jawapannya, sudah tentu. Setiap kitab manusia pasti akan ada kelemahan tersendiri. Adapun keburukan Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn yang ketara adalah hadis-hadisnya yang banyak yang ḍa’īf jiddan dan mawḍū’.
Ini disebutkan secara terang-terangan oleh Ibn al-Jawzī dengan katanya:
فاعلم أن في كتاب الإحياء آفات لا يعلمها إلا العلماء وأقلها الأحاديث الباطلة الموضوعة والموقوفه وقد يجعلها مرفوعة...
Ketahuilah bahawa di dalam kitab Iḥyā‘ ini ada penyakit-penyakit yang hanya diketahui oleh ulama. Yang paling kurang adalah hadis-hadis batil lagi mawḍū’ dan hadis-hadis mawqūf yang beliau jadikannya sebagai marfū’... [Lihat: ibid; hal. 8]
Inilah antara sebab mengapa Minhāj al-Qāṡidīn ditulis. Ibn al-Jawzī ingin menggantikan Iḥyā‘ Imam al-Ghazālī dengannya. Sebenarnya, kitab ini ‘hilang’ dari dunia Islam sehinggalah pada setahun dua yang lalu, saya menemuinya di Maktabah Dandīs di Amman, Jordan; pertama kali dicetak. Sebelum ini, umat Islam hanya mengenal ringkasannya sahaja yang diusahakan oleh Najm al-Dīn Ibn Qudāmah al-Maqdisī (w 620 H), seorang ulama bermazhab Ḥanbali daripada keluarga Qudāmah yang masyhur yang diulang cetak beberapa kali.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan