Adil, itulah sifat yang perlu dimikili oleh setiap penuntut ilmu. Tidak boleh berkeras pada tempat yang memerlukan kelembutan dan tidak harus bertolak ansur dalam keadaan yang berhajat kepada ketegasan. Orang yang bersalah tidak boleh dihukum melebihi kesalahannya. Hukuman mestilah setimpal. Tidak lebih tidak kurang.
Sifat itulah yang ingin saya sematkan dalam diri ini. Saya tidak mahu terlalu menurut nafsu dan amarah untuk menolak seseorang. Sebaliknya, saya tidak ingin hanyut mengikut arus budaya dan cita rasa sekeliling. Saya perlu adil. Sebarang kecondongan menjauhi keadilan adalah ego yang wajib dibuang daripada diri.
Saya pernah mengkritik Fatimah Syarha disebabkan pandangan beliau dalam isu poligami. Sebenarnya, saya tidak menolak beliau hanya kerana masalah tersebut tetapi kerana manhaj beliau yang cenderung kepada feminisme. Jikalau disebabkan tidak bersetuju dengan satu atau dua pendapat adalah sebab saya menolak seseorang tokoh, sudah tentu saya akan menolak semua ulama termasuklah guru saya, Maulana Muhammad Asri. Namun tidak, saya boleh bertolak ansur dengan furuk tetapi tidak pada usul. Manhaj adalah usul.
Kecenderungan Ustazah Fatimah Syarha kepada manhaj Syeikh al-Qaradhawi juga menuntut saya bersuara. Terus terang saya sebutkan, saya dahulunya adalah peminat fanatik beliau. Malah, cita-cita saya adalah untuk menjadi seperti beliau. Saya terlalu kagum dengan pendapat-pendapat beliau. Sungguh. Tetapi, setelah saya menemui kritikan-kritikan terhadap beliau dan menilainya secara adil yang mungkin, saya terpaksa menolak beliau. Saya sifatkan beliau adalah ulama yang moderat atau liberal. Fatwa-fatwa beliau yang mengharuskan perempuan berlakon, bersalam dengan ajnabi, ucapan sempena perayaan keagamaan bukan Islam, dan sebagainya adalah buktinya. Beliau dilihat agak keterlaluan dalam memilih pendapat sehingga mengambil pendapat yang syaz yang dikenali juga sebagai tatabbu' rukhash.
Sebenarnya, saya amat takut. Syeikh al-Qaradhawi seorang ulama yang terkenal bahkan lebih terkenal barang kali daripada Syeikh Wahbah al-Zuhayli dan Syeikh Ramadhan al-Buthi. Apabila beliau mengeluarkan fatwa, fatwa beliau akan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia tanpa melihat kepada ketepatan fatwa tersebut berdasarkan al-Quran dan sunnah mengikut kaedah-kaedah muktabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Itulah sebab yang mendorong saya mengkritik beliau lebih-lebih lagi apabila fatwa-fatwa beliau mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan kaum Muslimin di Malaysia. Oleh sebab itulah, apabila saya menongkah arus dengan melakukan kritikan kepada pemikiran beliau, ramai yang tidak dapat menerima. Hal ini demikian kerana idelogi yang dibawa oleh beliau telah sebati dalam pengamalan setempat.
Walau bagaimanapun, saya ingin jelaskan di sini bahawa saya menarik balik kata-kata saya yang tidak sopan kepada Ustazah Fatimah Syarha sebelum ini. Beliau sememangnya banyak berjasa kepada umat Islam di Malaysia terutamanya remaja. Saya mengucapkan terima kasih atas jasa tersebut dan berharap agar beliau boleh bergerak ke hadapan lagi dalam arena dakwah. Namun begitu, ini tidak bermakna saya menerima semua pendekatan dan menyetujui pemikiran beliau. Ini tidak sama sekali. Malah, pendirian saya terhadap pendapat-pendapat beliau yang saya kritik sebelum ini tetap sama.
Seterusnya, baru-baru ini, saya dikecam kerana kritikan saya kepada Ustaz Azhar Idrus kerana beliau menfatwakan keharusan bermain muzik. Bukan itu sahaja, beliau sendiri bermain gitar di khalayak ramai. Saya sedar, setiap manusia walaupun seorang ulama yang hebat tetap akan ada kesilapan. Begitu juga Ustaz Azhar. Bukan saya tidak mahu menerima hakikat ini tetapi keadaan semasa mendesak saya melakukan kritikan terhadap beliau.
Pertama, pendapat yang mengharuskan muzik adalah pendapat yang syaz dan khilaf yang berlaku tidak muktabar. Sekiranya muktabar sekalipun, pendapat yang silap perlu dikritik. Inilah yang dilakukan oleh alim-ulama zaman-berzaman. Jadi, tidak mengapa jika saya ingin menolak pendapat ini meskipun muktabar. Ini kalau muktabar tetapi yang nyata adalah sebaliknya.
Kedua, pendapat tersebut boleh mengundang bahaya yang besar kepada umat Islam. Sebelum ini, gitar dan alat-alat muzik yang lain dianggap haram atau sekurang-kurangnya tidak baik oleh kebanyakan orang. Dalam keadaan itupun, sudah ramai yang terleka mendengar nasyid dan lagu sehingga akhirnya terjerumus dalam hiburan yang melampau. Sebagaimana yang dapat dilihat umum, ramai termasuk pelajar-pelajar agama mendengar lagu-lagu yang berlawanan dengan nilai-nilai Islam. Bahkan, tidak sedikit juga yang menikmati lagu-lagu nyanyian artis Barat yang seksi.
Saya melihat sekiranya pendapat ini diperkenalkan kepada umat Islam secara berleluasa, sudah tentu keadaannya menjadi bertambah teruk. Itulah hakikatnya. Di Jordan, pelajar-pelajar agama sudah pandai membeli gitar dan memainkannya di atas pentas. Di Nusantara, sudah ada kumpulan nasyid barang kali, bermain gitar dalam pakaian ulama dengan disertai perempuan yang bertudung. Ini satu perkembangan yang amat terus. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi 20 tahun akan datang. Inilah yang menyebabkan saya terpaksa bertindak.
Dalam hal ini, sesetengah khalayak mendakwa, Ustaz Azhar melakukannya atas dasar maslahat dakwah. Saya amat tidak bersetuju dengan hujah ini kerana mafsadah lebih besar daripada maslahat dalam perkara ini. Umum dapat melihat, adakah dengan bermain gitar, ramai muda-mudi tertarik untuk menunaikan solat dan menutup aurat? Malah, Ustaz Azhar sudah dapat merapati remaja-remaja sebelum peristiwa tersebut lagi. Jadi, apakah gunanya beliau melakukan perbuatan sedemikian?
Ketiga, Ustaz Azhar adalah tokoh yang besar. Fatwa-fatwa beliau meletup di sana-sini. Kalau seorang pak cik di kampung saya yang melakukannya, saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan. Sebaliknya, beliau adalah seorang tokoh agama terkenal. Inilah faktor yang memaksa saya bersuara. Sahabat-sahabat saya di Jordan juga menjadikan perbuatan ustaz sebagai hujah harusnya gitar. Saya melihat mereka sudah terlalu taasub dengan Ustaz Azhar. Saya berdalilkan nas, mereka berdalilkan Ustaz Azhar!
Apa-apa pun, Ustaz Azhar adalah tokoh yang besar jasanya kepada umat Islam. Ini tidak dinafikan. Saya hanya menolak sesetengah pendapat dan tindakan beliau. Itu sahaja. Bukan kebanyakan atau semua. Saya tidak pernah membodohkan beliau. Saya masih berhati-hati dalam kritikan. Saya masih menjaga adab. Orang-orang yang biasa mendengar ceramah beliau pasti tahu bagaimana beliau mengkritik pandangan lawan. Cuba nilai bagaimana saya mengkritik dan bagaimana beliau mengkritik orang yang tidak sependapat.
Bersempena dengan ini, saya menarik semula kata-kata saya yang mengatakan beliau menolak untuk keluar daripada mazhab sekiranya ada dalam mana-mana kenyataan saya sebelum ini yang menyatakan demikian. Saya dapati, beliau mengharuskan talfiq selagi tidak dilakukan atas dasar tatabbu' rukhash. Saya mohon maaf atas kesilapan ini kepada Ustaz Azhar dan semua peminat beliau.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan