Sesungguhnya, Imam Taqiyy al-Dīn Ibn al-Ṣalāḥ (w. 643 H) termasuk dalam kalangan ulama hadis bermazhab Shāfi‘ī. Nama lengkapnya, ‘Utsmān bin ‘Abd al-Raḥmān dengan kunyah, Abū ‘Amr.
Imam al-Nawawī (w. 676 H) didakwa sebagai salah seorang murid beliau tetapi kebenarannya tidak dapat dibuktikan. Nama al-Nawawī tidak termasuk dalam senarai murid-murid beliau sebagaimana yang dilihat dalam Siyar A‘lām al-Nubalā’. Masakan Imam al-Dhahabī tercicir nama al-Nawawī yang cukup besar itu.
Namun begitu, agak mengecewakan apabila sesetengah pengkaji melakukan kesilapan besar dengan menjazamkan hubungan mereka berdua sebagai guru dan murid. Penyemak Fatāwā wa Masā’il Ibn al-Ṣalāḥ cetakan Dār al-Ma‘rifah misalnya bukan sahaja menyenaraikan al-Nawawī sebagai murid Ibn al-Ṣalāḥ malah menghubungkan kata-kata beliau yang berbunyi:
أول شيوخي الإمام المتفق على علمه وزهده وورعه وكثرة عبادته وعظيم فضله
Guruku yang pertama, imam yang disepakati keilmuan, kezuhudan, kewarakan, kekuatan ibadat, dan kebesaran kelebihannya;... [Jil. 1, hal. 10]
... kepada Ibn al-Ṣalāḥ. Teks ini tidak ditemui dalam kitab Tahdzīb al-Asmā’ wa al-Lughāt, al-Majmu‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, Rawḍah al-Ṭālibīn, dan lain-lain. Teks yang paling hampir didapati dalam Tahdzīb al-Asmā’ wa al-Lughāt tetapi bukan merujuk kepada Ibn al-Ṣalāḥ tetapi guru beliau yang bernama Abū Ibrāhīm Isḥāq bin Aḥmad yang merupakan murid Ibn al-Ṣalāḥ. Katanya sesudah menyebutkan gurunya tersebut dengan dua guru lain:
وتفقه شيوخنا الثلاثة الأولون على شيخهم الإمام أبى عمرو عثمان بن عبد الرحمن ابن عثمان المعروف بابن الصلاح
Tiga guru kami yang terawal itu menuntut ilmu fiqh daripada guru mereka, Abū ‘Amr ‘Utsmān bin ‘Abd al-Raḥmān bin ‘Uthmān yang dikenali sebagai Ibn al-Ṣalāḥ. [Hal. 33]
Ini jelas menunjukkan kesilapan penyemak yang begitu ketara dan sukar untuk diterima. Sebabnya tidak dipastikan sama ada kerana kecuaian penyemak atau kerana bertaklid kepada orang lain.
Ibn al-Ṣalāḥ, beliau terkenal sebagai pengarang kitab penting dalam ilmu muṣṭalaḥ al-ḥadīth dengan judul Ma‘rifah ’Anwā‘ ‘Ulūm al-Ḥadīth. Kitab ini dikenali juga sebagai Muqaddimah Ibn al-Ṣalāḥ dan telah menjadi tumpuan alim-ulama hadis sesudahnya yang menjadikannya sebagai rujukan, matan untuk syarah, ringkasan, catatan, dan sebagainya. Antara yang terpenting, syarahan mahaguru hadis muta’akhkhirīn, Imam Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī bertajuk al-Nukat ‘alā Kitāb Ibn al-Ṣalāḥ.
Dalam kitab ini beliau telah membuat rumusan penting tentang ilmu hadis. Kadang-kala, beliau mengemukakan pandangan peribadinya. Antaranya, penyahihan hadis terhenti pada penyahihan ulama-ulama sebelumnya dalam kitab-kitab yang masyhur sahaja. Nas beliau berbunyi:
إذا وجدنا فيما يروى من أجزاء الحديث وغيرها حديثًا صحيح الإسناد ولم نجده في أحد الصحيحين ولا منصوصًا على صحته في شيء من مصنفات أئمة الحديث المعتمدة المشهورة فإنا لا نتجاسر على الحكم بصحته؛ فقد تعذر في هذه الأعصار الاستقلال بإدراك الصحيح بمجرد اعتبار الأسانيد لأنه ما من إسناد من ذلك إلا وتجد في رجاله من اعتمد في روايته على ما في كتابه عريًّا عما يشترط في الصحيح من الحفظ والضبط والإتقان؛ فآل الأمر إذًا في معرفة الصحيح والحسن إلى الاعتماد على ما نص عليه أئمة الحديث في تصانيفهم المعتمدة المشهورة التي يؤمن فيها - لشهرتها - من التغيير والتحريف...
Apabila kita dapati antara yang diriwayatkan dalam ajzā’ hadis dan seumpamanya ada hadis yang sahih sanadnya sedangkan kita tidak menemuinya dalam Ṣaḥīh al-Bukhārī atau Ṣaḥīḥ Muslim dan tidak pula disahihkan dalam mana-mana kitab ulama hadis yang muktabar dan masyhur, kita tidak boleh berani menghukumnya sebagai sahih. Hal ini demikian kerana pada zaman ini tidak mampu berpada dalam mengetahui hadis sahih dengan mengambil kira sanad semata kerana sudah tidak ada sanad yang tidak engkau dapati ada antara rawinya yang periwayatannya berdasarkan apa yang terdapat dalam kitabnya yang tidak memenuhi syarat hadis sahih berupa ingatan, ketajaman hafalan, ketekunan. Jadi, untuk mengetahui hadis sahih dan hasan perlu berpegang kepada apa yang dinyatakan oleh ulama-ulama hadis dalam kitab-kitab mereka yang muktabar, masyhur, dan diyakini selamat - kerana kemasyhurannya - daripada pengubahan dan penyelewengan... [Semakan Prof. Dr. Nūr al-Dīn ‘Itr; hal. 16-17]
Daripada teks ini dapat disimpulkan bahawa beliau berpandangan, hadis hanya boleh dihukum sebagai sahih atau hasan dengan merujuk penyahihan ulama-ulama terdahulu sama ada berpandukan kewujudan hadis tersebut dalam Ṣaḥīh al-Bukhārī atau Ṣaḥīḥ Muslim; atau dinaskan sahih dalam mana-mana kitab muktabar dan masyhur yang terpelihara daripada pengubahan dan penyelewengan. Hal ini demikian kerana kitab-kitab yang tidak muktabar dan tidak masyhur diriwayatkan dengan sanad yang lemah.
Beginilah yang difahami oleh para ulama daripada teks di atas. Antaranya, Imam al-Nawawī, Ibn Kathīr, al-Bulqīnī, Ibn Jamā‘ah, dan tiga belas ulama lain sebagaimana yang disenaraikan oleh ‘Abd al-Razzāq bin Khalīfah al-Shayjī. Namun begitu, Syeikh Dr. Ḥamzah al-Malībārī mempunyai pendapat lain yang diutarakan dalam makalah beliau bertajuk Taṣḥīḥ al-Ḥadīth ‘ind al-Imām Ibn al-Ṣalāḥ; Dirāsah Naqdiyyah. Menurut beliau, Ibn al-Ṣalāḥ tidak melarang penyahihan hadis dilakukan pada dan selepas zamannya secara mutlak. Larangan beliau hanya pada hadis-hadis yang diriwayatkan dalam kitab yang ditulis pada dan selepas zamannya.
Pandangan ini berasaskan pembahagian peringkat perkembangan ilmu hadis kepada peringkat periwayatan dan peringkat selepas periwayatan. Pada peringkat pertama, periwayatan hadis dilakukan secara ketat jauh berbeza dengan peringkat kedua yang melihatkan kelonggaran yang ketara dalam periwayatan. Agak mustahil hadis sahih atau hasan datang melalui medium sebegitu. Maka, pandangan Ibn al-Ṣalāḥ tepat sekali memandangkan hadis-hadis yang diriwayatkan ketika itu terdedah kepada banyak faktor yang melemahkan keyakinan untuk memperakukan kebenarannya.
Namun begitu, pandangan ini ditentang hebat oleh Dr. Shākir Dhīb Fayyāḍ al-Khawaldah menerusi makalahnya yang diterbitkan dalam jurnal, al-Majallah al-Urduniyyah li al-Dirāsāt al-Islāmiyyah pada tahun 2011 lalu dengan tajuk Ru’yah al-Duktūr Ḥamzah al-Malībārī li Taṣḥīḥ al-Aḥādīth wa Taḥsīnihā ‘ind Ibn al-Ṣalāḥ; Dirāsah Naqdiyyah. Beliau mempertahankan tafsiran asal yang difahami oleh ulama sebelumnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan